Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Malaysia perlu menerajui inisiatif perkapalan yang mampan atau hijau dalam ASEAN, seperti meluaskan akses kepada skim pembiayaan serantau dan menggalakkan kerjasama dalam mewujudkan laluan perkapalan rendah karbon.
Dalam membuat saranan itu, ketua Arthur D. Little bagi Asia Tenggara Yuma Ito berkata mewujudkan koridor hijau untuk mengurangkan pencemaran dan menambah baik infrastruktur adalah langkah penting untuk mencapai objektif ini.
Beliau berkata Putrajaya juga perlu memanfaatkan lokasinya yang strategik dan laluan laut yang sibuk di rantau ini untuk memacu kerjasama lebih erat, terutamanya dalam pembangunan infrastruktur bersama, yang akan meningkatkan keunggulan maritim ASEAN.
“ASEAN boleh menetapkan laluan laut strategik, seperti Selat Melaka, sebagai koridor hijau dengan menggalakkan penggunaan bahan api generasi kedua dan kapal pelepasan karbon rendah,” kata Ito kepada Bernama menerusi satu temu bual.
Arthur D. Little ialah firma perunding pengurusan global yang memiliki 51 pejabat di 39 negara.
Beliau berkata negara anggota ASEAN juga boleh bersetuju untuk membiayai pembangunan pelabuhan hijau dan meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu di kawasan pelabuhan.
“Dengan melaksanakan pendekatan yang diselaraskan untuk mengurangkan pelepasan karbon di sepanjang laluan perkapalan Asia Tenggara, dan bekerjasama dengan Singapura serta anggota ASEAN lain, rantau ini juga akan menyokong projek perintis dalam bahan api bukan konvensional dan penyelesaian digital termaju.
“Ini akan memastikan kesesuaian rentas sempadan,” kata Ito, sambil menambah lokasi Semenanjung Malaysia yang terletak di sepanjang salah satu laluan perkapalan paling sibuk di dunia memberikannya kelebihan besar dalam perdagangan maritim
Beliau juga berkata ASEAN, sebagai sebuah blok, harus berusaha untuk meneraju inovasi hijau termasuk memanfaatkan kedudukan geografi dan ketersambungan perdagangannya untuk mewujudkan koridor perkapalan hijau dan menggerakkan usaha kelestarian dalam perdagangan maritim.
Ito berkata rantau ini juga boleh menggalakkan pusat penyelidikan dan pembangunan memajukan bahan api alternatif dan teknologi pengurangan pelepasan karbon.
“Pelabuhan ASEAN boleh menjadi lokasi pilihan untuk mengisi minyak dan mengubahsuai semula kapal dengan teknologi hijau, memenuhi peningkatan permintaan daripada syarikat perkapalan antarabangsa.
“Asia Tenggara boleh memanfaatkan pembuatan dan pengeksportan komponen teknologi hijau, seperti bateri dan sistem tenaga boleh baharu sambil mewujudkan rangkaian kemudahan pengisian bahan api metanol hijau untuk syarikat perkapalan antarabangsa ke rantau ini,” katanya.
Walaupun ASEAN telah mewujudkan matlamat kemampanan melalui inisiatif seperti Pelan Tindakan ASEAN untuk Kerjasama Tenaga (APAEC), Ito berkata rangka kerja khusus maritim kurang dibangunkan berbanding dengan dasar tenaga atau perdagangan.
“Kerjasama dalam koridor perkapalan hijau, terutamanya di laluan maritim utama seperti Selat Melaka, merupakan satu lagi langkah yang membawa potensi besar,” kata Ito.
Walaupun usaha berterusan untuk memajukan agenda perkapalan hijau di ASEAN, beliau menegaskan inisiatif kemampanan perlu diseimbangkan dengan realiti ekonomi, seperti membangunkan ekonomi yang memerlukan sokongan teknikal dan kewangan.
"Rangka kerja serantau dapat memberikan sokongan teknikal dan kewangan kepada negara-negara anggota yang kurang maju, membolehkan mereka melaksanakan langkah-langkah yang lebih ketat tanpa menjejaskan ekonomi tempatan," katanya.
Beliau berkata pelaksanaan langkah-langkah kemampanan secara berperingkat akan membolehkan perniagaan di seluruh ASEAN dapat menyesuaikan diri, mengelakkan gangguan ekonomi sambil memastikan pematuhan bagi tempoh jangka panjang.
"Cabaran dalam kos perlu ditangani. Penawaran subsidi, pengecualian cukai atau akses kepada pembiayaan hijau akan merangsang perniagaan tempatan untuk melabur dalam inisiatif kemampanan.
"Penglibatan dengan organisasi antarabangsa seperti Bank Pembangunan Asia dan Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim, boleh memanfaatkan pembiayaan serta kepakaran teknikal bagi melaksanakan usaha penyahkarbonan,” kata Ito.
Mengimbangi kemampanan dan kemajuan negara anggota
Walaupun ASEAN semakin menumpukan kepada peraturan kemampanan global, pematuhannya masih tidak sekata disebabkan oleh perbezaan status ekonomi, kematangan peraturan dan infrastruktur di seluruh negara anggota.
“Pengukuhan kerjasama serantau, pembinaan kapasiti serta penglibatan sektor swasta adalah kunci untuk mencapai konsisten dan meletakkan ASEAN sebagai peneraju global dalam usaha kemampanan,” katanya.
Dari segi penerimagunaan kemampanan dalam kalangan negara anggota ASEAN, Singapura dan Malaysia dianggap sebagai mencapai pematuhan tertinggi, kata Ito.
Langkah-langkah yang dilaksanakan oleh kedua-dua negara mantap serta sejajar dengan Pertubuhan Maritim Antarabangsa dan Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dasar Perubahan Iklim.
"Program Perkapalan Hijau Singapura dan Program Peralihan Tenaga Malaysia, yang secara rasmi dikenali sebagai Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), adalah contoh utama,” katanya.
“Walaupun berdepan cabaran penguatkuasaan dan infrastruktur, Thailand dan Indonesia turut mencatatkan kemajuan dan diletakkan dalam (kategori) pematuhan peringkat pertengahan terutamanya dari segi melaksanakan tenaga boleh baharu dan pengurangan pelepasan karbon,” kata Ito.
Kemboja, Laos dan Myanmar berada dalam kategori terbawah berikutan cabaran terhadap pematuhan, kekangan sumber dan jurang perundangan.
Beliau juga berkata peraturan di ASEAN yang tidak selaras, tidak membolehkan pelaksanaan projek penyahkarbonan yang berkesan.
Malaysia sebagai pengerusi ASEAN 2025
Menurut Ito, rancangan Sarawak dalam membangunkan loji hidrogen dan infrastruktur untuk memacu Malaysia sebagai hab hidrogen, meletakkan negara ini di kedudukan baik untuk mencapai matlamat kelestariannya dan meneraju peralihan ASEAN kepada tenaga hidrogen.
“Dengan memacu inovasi, menarik pelaburan dan memupuk kerjasama serantau, Malaysia dapat muncul sebagai perintis tenaga hijau, seterusnya, menyokong objektif perubahan iklim ASEAN,” katanya.
Matlamat Sarawak adalah untuk menjadi ekonomi dikuasakan tenaga hidrogen pertama di Asia Tenggara dan meletakkan Malaysia sebagai penggerak pertama tenaga hidrogen.
Ini mengukuhkan kepimpinan negara dalam ASEAN dan meningkatkan potensi Malaysia sebagai pembekal hidrogen utama di rantau ini, menyumbang kepada visi ASEAN untuk grid tenaga yang bersepadu dan mampan.
"Malaysia boleh meneraju rantau ini dalam penggunaan teknologi hidrogen dan memupuk kerjasama untuk memenuhi matlamat iklim bersama," kata Ito.
Membentuk rangka kerja ETS khusus untuk ASEAN
ASEAN boleh mengambil contoh daripada negara maju dan blok ekonomi seperti Kesatuan Eropah, yang telah memperkenalkan Sistem Perdagangan Pelepasan Karbon(ETS) untuk memberi ganjaran kepada syarikat yang mengurangkan jejak karbon mereka.
Dari segi perspektif ASEAN, Ito berkata, ETS di ASEAN boleh menyokong matlamat kemampanan serantau, dengan beberapa faktor unik serantau yang perlu ditangani.
Beliau menekankan bahawa negara-negara anggota ASEAN mempunyai tahap pembangunan ekonomi dan kesediaan kawal selia yang berbeza, yang menimbulkan beberapa cabaran khusus, serta peluang yang unik untuk rantau ini.
"Oleh itu, pendekatan kerjasama secara beransur-ansur yang menumpukan kepada membina keupayaan dan penjajaran dengan piawaian antarabangsa akan mewujudkan asas yang kukuh untuk ASEAN mencapai sistem yang berkesan," katanya.
Dengan mengambil kira kebaikan dan keburukan ETS untuk ASEAN, Ito berkata ETS boleh memberi insentif kepada industri untuk mengguna pakai teknologi yang lebih bersih dengan menjana wang daripada penjimatan karbon.
Ia juga akan membantu menyepadukan dasar pengurangan karbon di seluruh rantau dan meningkatkan pematuhan terhadap komitmen antarabangsa.
"Namun, sekali lagi disebabkan oleh jurang ekonomi, penyelarasan mungkin agak sukar bagi ASEAN.
"Melaksanakan ETS akan lebih mudah bagi negara maju seperti Singapura dan Malaysia, tetapi negara membangun kekurangan rangka kerja institusi yang diperlukan untuk menjejak, mengurus, dan menguatkuasakan sistem seperti itu," kata Ito.
Sehubungan itu, beliau menggesa ASEAN untuk menggunakan pendekatan secara berperingkat, bermula dengan negara yang lebih maju, diikuti oleh negara-negara yang kurang membangun.
Model yang dicadangkan itu boleh merangkumi penyertaan secara sukarela, penilaian kitaran ekonomi untuk pematuhan, pelaburan hijau seperti subsidi dan kredit cukai, serta memperkukuh kerjasama serantau.
"Negara-negara yang kurang membangun dengan kepakaran teknikal yang terhad akan memerlukan latihan dan pelaburan untuk membangunkan sistem pemantauan, pelaporan, dan pengesahan (MRV)," katanya.
Satu lagi alternatif yang perlu dipertimbangkan ASEAN adalah menubuhkan badan berpusat untuk menyelia perdagangan pelepasan karbon dan memastikan piawaian yang konsisten di seluruh negara anggota.
"Penglibatan sektor swasta juga penting kerana insentif seperti faedah cukai atau subsidi untuk syarikat yang menyertai ETS boleh meningkatkan penerimaan dan mengurangkan masalah.
"ETS ASEAN perlu sejajar dengan sistem antarabangsa untuk menarik pelaburan dan memudahkan peluang perdagangan rentas sempadan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial