Bakal menjadi yang terawal berstatus negeri menua di Malaysia, namun masih banyak yang perlu dilakukan oleh Perak bagi menampung keperluan warga emas, khususnya dari segi infrastruktur.
Sesebuah negeri atau negara akan berstatus menua apabila lebih 14 peratus daripada populasinya terdiri daripada mereka yang berusia 65 tahun ke atas, dan Malaysia sendiri dijangka mencapai status itu pada 2043.
Bagaimanapun Perak diunjur mencapai status negeri menua pada 2030 berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM), yang merekodkan sekitar 14.6 peratus daripada penduduk negeri itu telah berusia 60 tahun pada 2023.
Malah, berdasarkan unjuran itu, sekitar 18 peratus daripada populasi Perak berusia 65 tahun ke atas dalam tempoh lima tahun lagi.
Situasi itu diakui oleh kerajaan negeri menerusi Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak Sandrea Ng Shy Ching yang berkata tahap infrastruktur di negeri berkenaan perlu dipertingkat.
“… perlu kita lihat adakah bangunan, pasar awam dan perhentian bas yang telah dibina mengambil kira semua aspek seperti aksesibiliti, keselamatan dan keselesaan warga emas, serta bagaimana pelaksanaan audit boleh membantu mengenal pasti kelemahan dalam kemudahan sedia,” katanya pada Program Sejahtera Warga Emas Komuniti Mesra Usia, di sini baru-baru ini.
SISTEM PENARAFAN MESRA WARGA EMAS
Bagi menangani permasalahan itu, Ng berkata kerajaan negeri mengambil langkah proaktif menerusi libat urus dengan pelbagai pihak seperti Program Sejahtera Warga Emas Komuniti Mesra Usia, bagi membincangkan persiapan dan strategi yang boleh dilaksanakan.
pic-2
Katanya selaras dengan komitmen itu, kerajaan negeri turut berhasrat membangunkan Sistem Penarafan Mesra Warga Emas merangkumi infrastruktur, kemudahan awam dan perumahan berasaskan prinsip reka bentuk sejagat dan mengambil inspirasi daripada konsep Indeks Bangunan Hijau.
“Cadangan Sistem Penarafan Mesra Warga Emas ini akan menjadi penanda aras bagi menilai sama ada sesuatu tempat, termasuk skim perumahan, bangunan kerajaan serta tempat awam seperti restoran dan pusat beli-belah adalah mesra dan selamat untuk warga emas.
“Sistem Penarafan Mesra Warga Emas akan menyediakan petunjuk yang jelas dan boleh dipercayai orang ramai. Contohnya, warga emas atau keluarga mereka boleh merujuk penilaian bintang dalam memilih rumah atau restoran yang benar-benar mesra warga emas,” katanya.
Beliau berkata sebagai contoh, kriteria utama sistem penarafan ialah penyediaan infrastruktur seperti laluan pejalan kaki, lif, tanjakan, pencahayaan yang baik dan kawasan rehat yang selesa, sementara kemudahan awam pula seperti akses pengangkutan awam dan tandas mesra warga emas mencukupi.
“Selain itu, perumahan pula dibangunkan menuruti reka bentuk selamat, mudah diakses, sesuai untuk keperluan mobiliti terhad serta komuniti, sementara dari segi sosial pula diwujudkan pusat aktiviti warga emas, perkhidmatan kesihatan dan persekitaran yang mesra sosial.
“Dengan adanya sistem ini, kerajaan tempatan dapat merancang bandar dan kemudahan awam dengan lebih baik selain mendorong pemaju perumahan, agensi kerajaan dan sektor swasta mencapai standard mesra warga emas,” katanya.
Beliau berkata sistem itu akan menggalakkan persaingan sihat dalam kalangan pemaju, kerana penarafan tertinggi akan meningkatkan daya tarikan dan keyakinan masyarakat terhadap projek mereka.
“Sistem ini juga membawa manfaat jangka panjang termasuk memastikan pemaju dan kerajaan lebih bertanggungjawab, menggalakkan pematuhan prinsip pembangunan mesra warga emas serta menjadikan Perak perintis negeri mesra usia – memimpin usaha membangunkan persekitaran yang benar-benar inklusif dan mampan,” katanya.
Menurutnya lagi, usaha itu juga selaras dengan Agenda Negara Menua yang akan menjadi satu daripada fokus utama dalam Rancangan Malaysia ke-13 yang bakal dibentangkan di Parlimen tahun ini.
PERANAN PIHAK BERKUASA TEMPATAN
Ng berkata dalam membantu pelaksanaan Sistem Penarafan Mesra Warga Emas ini, peranan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) amat penting kerana badan itu merupakan tulang belakang pembangunan komuniti setempat.
pic-3
“Biasanya kalau program dengan warga emas, mungkin kita terfikir tentang Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sebagainya, tetapi ia sebenarnya turut berkait dengan PBT sebab mereka yang akan melaksanakan dasar di peringkat komuniti dan juga terlibat dengan perancangan bandar dan pengurusan bandar.
“Jadi, banyak isu yang berkaitan dengan komuniti golongan warga emas, contohnya adakah dari segi perumahan, pembangunan yang kita luluskan itu bersesuaian dengan keperluan warga emas, dari segi pengurusan kemudahan awam, tempat awam, adakah menepati isu-isu keselamatan dan aksesibiliti untuk warga emas,” jelas beliau.
Sehubungan itu katanya, sangat penting untuk kerajaan negeri, terutamanya Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, memahami keadaan dan keperluan warga emas sebelum PBT membuat perancangan yang bersesuaian dengan keperluan akan datang.
Selain itu, beliau berkata perancangan perumahan yang bersesuaian dengan keperluan warga emas juga menjadi satu peluang ekonomi pada masa akan datang .
GARIS PANDUAN PERANCANGAN TAPAK PUSAT JAGAAN
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Profesional dan Rumah-rumah Jagaan Sosial Malaysia (MASOC Care) Dr Melody Ang Xing Yuen berkata Garis Panduan Perancangan Tapak Jagaan Pusat yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) perlu dikaji semula, antaranya tentang had ketinggian bangunan.
pic-4
“Merujuk SOP (prosedur operasi standard) itu, had ketinggian maksimum bangunan ialah dua tingkat bagi rumah sebuah-sebuah, rumah berkembar dan perkedaian yang turut dijadikan premis menjaga warga emas.
“SOP harus membolehkan pembinaan perumahan persaraan dan pusat jagaan yang lebih moden dan besar. Justeru, had dua tingkat untuk pusat jagaan harus dikaji balik,” katanya.
Dalam pada itu, Ang berkata Malaysia mempunyai standard yang telah ditetapkan dalam mendepani masalah negara menua, terutamanya dari segi infrastruktur, namun pelaksanaannya tidak menyeluruh dan hanya diterima guna oleh sesetengah PBT.
“Standard ada di peringkat persekutuan dan sesetengah PBT seperti Petaling Jaya, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, akan tetapi kesedaran orang ramai terhadap standard begitu dan kepatuhan pemaju tidak memuaskan.
“Jadi saya cadangkan kempen kesedaran mesti dijalankan segera terutama di negeri-negeri yang mempunyai penduduk warga emas dalam jumlah besar seperti Perak,” katanya.
BANDAR FUKUOKA MODEL INFRASTRUKTUR WARGA EMAS
Memetik Projek Fukuoka 100, Ang berkata pihak berkuasa Fukuoka di Jepun memastikan setiap lapisan masyarakat mempunyai hasrat yang sama, iaitu mewujudkan keadaan kondusif bagi warga emas dan penjaga mereka.
pic-5
“Pihak berkuasa di Fukuoka menjalankan kempen kesedaran meliputi bandar, daerah dan kampung, sekali gus melibatkan seluruh penduduk.
“Di Malaysia, hanya Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) ada jalankan kempen tersebut. MBPJ bersama MASOC Care telah menjalankan ceramah dan bengkel di merata kawasan di Petaling Jaya termasuk kawasan B40, M40 dan T20. MBPJ harus dijadikan teladan oleh PBT yang lain.
Katanya Projek Fukuoka 100 menekankan konsep “kaigo”, iaitu sistem penjagaan warga emas yang meliputi kemahiran penjagaan, perumahan, pembinaan komuniti dan gaya hidup.
“Di bawah Projek Fukuoka 100, mereka manfaatkan teknologi dengan membangunkan aplikasi untuk warga emas mencari penjaga berdekatan rumahnya. Selain itu, aplikasi tersebut juga mempunyai sistem pengesan yang dapat memberi amaran kepada jurujaga dan keluarga bila warga emas berisiko jatuh,” katanya.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial