BELANJAWAN 2025 > BERITA

Cadangan Pembangunan Produk Perlindungan Asas Produk MHIT Perlu Kajian Menyeluruh

20/02/2025 05:38 PM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Cadangan pelaksanaan subsidi untuk pembangunan produk perlindungan asas insurans, takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) memerlukan kajian yang mendalam termasuk impak jangka panjang ke atas kos kesihatan menyeluruh, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

Cadangan itu perlu mengambil kira keadaan kewangan kerajaan, kos premium dan manfaat perlindungan, beban penyakit dan kos penjagaan kesihatan, kemampanan jangka panjang polisi tersebut dan lain-lain lagi, kata Lim.

"Pembangunan produk asas MHIT adalah penting untuk memastikan akses berterusan kepada penjagaan kesihatan swasta.

"Kemampanan produk asas MHIT ini juga akan dipertingkat melalui langkah-langkah pengawalan yang lebih kukuh dalam membendung inflasi kos perubatan," kata Lim pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab usul dikemukakan Chiew Choon Man (PH-Miri) yang mencadangkan skim insurans perubatan mampu milik untuk mengurangkan kebergantungan terhadap Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). 

Setakat 31 Dis, 2024, seramai 153,618 ahli KWSP telah memanfaatkan kemudahan pengeluaran simpanan daripada Akaun Sejahtera (dahulunya Akaun 2) bagi membeli insurans perlindungan hayat dan insurans penyakit kritikal di bawah Program i-Lindung. 

Jumlah pengeluaran terlibat adalah sebanyak RM51 juta sejak diperkenalkan pada Julai 2022 sehingga Disember 2024.

Mengulas mengenai produk asas MHIT, Lim berkata ia akan diseragamkan bagi memudahkan pengguna memahami ciri-ciri asas produk, liputan manfaat dan had produk tersebut. 

Ini juga akan membantu pengguna membuat perbandingan dengan produk-produk lain dan seterusnya membuat keputusan kewangan yang termaklum.

"Penyertaan pada skala yang mencukupi untuk produk asas MHIT ini penting bagi memastikan kemampanan produk asas ini. Semakin luas dan pelbagai penyertaan pemegang polisi produk asas MHIT ini, semakin besar kesan pengumpulan risiko. 

"Hal ini secara langsung akan meningkatkan daya mampu milik dan kemampanan produk asas MHIT," kata Lim.

Menerusi penyertaan yang lebih pelbagai, terutamanya dengan nisbah yang seimbang antara golongan muda dengan golongan tua, penetapan premium produk asas MHIT ini akan lebih stabil dalam jangka panjang. 

Oleh itu, Lim berkata penting untuk kerajaan memanfaatkan program i-Lindung bagi membina kumpulan pemegang polisi awal yang mantap dalam kalangan ahli KWSP. 

Di samping itu, akses kepada produk asas MHIT boleh diperluas kepada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

"Justeru, semua pihak berkepentingan termasuk KWSP, Bank Negara Malaysia, Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan, hospital swasta serta penanggung insurans dan pengendali takaful akan terus bekerjasama untuk mencari penyelesaian jangka panjang yang berkesan seperti pelaksanakan model pembayaran Diagnosis-Related Group (DRG) dan peningkatkan ketelusan harga kos perubatan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan