BELANJAWAN 2025 > BERITA

Syarikat Pertahanan Turkiye Akan Tampil Lebih Gah Di LIMA 2025 - Duta

21/02/2025 01:23 PM

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Syarikat pertahanan Turkiye sedang bersiap sedia untuk pameran lebih menonjol di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA 2025), yang akan berlangsung pada 20 hingga 24 Mei di Langkawi, Kedah, kata Duta Besar Turkiye ke Malaysia Emir Salim Yuksel.

Beliau berkata LIMA adalah satu daripada acara pertahanan udara dan ketenteraan laut yang bermakna di rantau ini sekali gus memainkan peranan penting dalam memperkukuh kerjasama global serta mempamerkan inovasi teknologi Turkiye dalam sektor pertahanan.

“Satu tradisi bagi kami (syarikat pertahanan Turkiye) untuk sentiasa menyertai LIMA Langkawi. Seingat saya, dua tahun lepas, kira-kira 40 syarikat kami terlibat dalam pameran berkenaan.

"Tahun ini, saya jangkakan (syarikat terlibat) tidak kurang daripada itu. Kemungkinan besar sekitar jumlah itu juga, mungkin lebih," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program The Nation terbitan Bernama TV di sini semalam.

Yuksel berkata beliau yakin bahawa syarikat pertahanan terkemuka Turkiye seperti Turkish Aerospace, Aselsan, Roketsan dan Savunma Teknolojileri Muhendislik (STM) akan mengambil bahagian dalam edisi tahun ini.

Beliau berkata beberapa pegawai kanan Turkiye juga dijangka menghadiri LIMA 2025.

Mengenai kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Turkiye, Yuksel berkata ia merupakan satu daripada tumpuan kedua-dua negara dengan penekanan terhadap pemindahan teknologi, usaha sama dan pengeluaran bersama pada masa hadapan.

Beliau percaya keupayaan industri yang canggih di kedua-dua negara memainkan peranan penting dalam kerjasama dan perkongsian pada masa hadapan.

“Saya ingin menyatakan bahawa kami (Turkiye) melihat Malaysia sebagai rakan kongsi. Ia bukan sebuah pasaran, kadangkala ada yang mengatakannya sebagai pasaran Malaysia, namun itu tidak benar.

“Kami ingin menjadi rakan kongsi Malaysia supaya kami dapat bekerjasama untuk manfaat lebih besar di rantau ini," katanya.

Sambil menyatakan perbincangan dan rundingan sedang berlangsung berkaitan beberapa projek antara Turkiye dan Malaysia, Yuksel berkata lawatan timbal balik menteri pertahanan kedua-dua negara tahun lepas akan membawa kepada kerjasama yang lebih erat pada masa hadapan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan