BELANJAWAN 2025 > BERITA

Separuh Tenaga Kerja Aeroangkasa Negara Berada Di Selangor - Exco

21/02/2025 02:10 PM

SHAH ALAM, 21 Feb (Bernama) -- Sebanyak 14,300 daripada keseluruhan 29,900 tenaga kerja dalam industri aeroangkasa negara yang diwujudkan dari 2019 hingga 2024 direkodkan berada di Selangor, Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri Ng Sze Han berkata angka itu berdasarkan data Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa Kebangsaan Malaysia (NAICO Malaysia), sekali gus menjadikan Selangor sebagai penyumbang utama tenaga kerja dalam sektor aeroangkasa. 

“Angka keseluruhan ini juga hampir mencapai sasaran Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), yang menetapkan penciptaan 30,000 peluang pekerjaan dalam industri aeroangkasa negara menjelang 2025,” katanya pada persidangan DUN Selangor di sini hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad (PH-Lembah Jaya) yang ingin tahu jumlah peluang pekerjaan yang akan diwujudkan menerusi kerjasama dengan pelbagai pihak dalam bidang aeroangkasa. 

Ng berkata untuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor aeroangkasa, kerajaan negeri sentiasa menjalin hubungan bersama pihak pengeluar peralatan asal (OEM) serta pemain industri bagi mendapat pakej kerja yang berimpak tinggi dan peluang pekerjaan berkualiti.

Selain itu, katanya kerajaan negeri terus menganjurkan pameran kerjaya untuk menghubungkan pemain industri dengan bakat tempatan. 

“Inisiatif ini bertujuan memastikan tenaga kerja yang tersedia dapat diserap ke dalam industri dengan lebih berkesan, sekali gus mengurangkan jurang antara keperluan majikan dan pencari kerja,” katanya.

Pada penganjuran Pameran Penerbangan Selangor (SAS) 2024, sebanyak 2,270 peluang pekerjaan ditawarkan oleh pelbagai syarikat aeroangkasa dan 222 peluang pekerjaan berjaya diisi. 

“Melalui inisiatif ini, kerajaan negeri menjangkakan bahawa sebanyak 32,000 peluang pekerjaan akan diwujudkan menjelang 2030 sejajar dengan sasaran yang digariskan dalam Rangka Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIB) 2030,” katanya.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan