SEREMBAN, 21 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan terus memantau rapi situasi penyakit kusta di Kuala Pilah selain mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat terpelihara.
Exco Kanan negeri Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata masyarakat diminta tidak panik dan terus memberikan kerjasama kepada pasukan kesihatan dan pihak berwajib dalam usaha pengesanan serta kawalan jangkitan.
“Orang ramai juga diminta untuk mendapatkan maklumat yang sahih daripada pihak berkuasa dan mengelakkan sebarang penyebaran maklumat tidak tepat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata berdasarkan pemantauan dan tindakan Jabatan Kesihatan Negeri, tiada keperluan untuk mengadakan pengasingan atau kuarantin terhadap penduduk di kawasan yang terlibat dan kesemua pesakit telah menerima rawatan mengikut garis panduan KKM.
KKM hari ini dilaporkan memberi jaminan situasi penyakit kusta di Kuala Pilah terkawal dan pesakit tidak perlu lagi diasingkan kerana terdapat rawatan yang berkesan.
Media sebelum ini melaporkan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun dari Kampung Orang Asli Chergun, Kuala Pilah disahkan meninggal dunia pada Isnin akibat penyakit kusta, manakala lapan lagi individu sedang dirawat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial