BELANJAWAN 2025 > BERITA

Syria Zahir Harapan Malaysia Perkukuh Kerjasama Rasmi Antara Dua Negara - Serantau Muslim

21/02/2025 06:10 PM

PUTRAJAYA, 21 Feb (Bernama) -- Kerajaan Syria menzahirkan harapan tinggi agar Malaysia menjadi antara negara Islam terawal yang memperkukuhkan kerjasama rasmi, termasuk dalam usaha pemulihan dan pembangunan semula negara berkenaan, kata Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) Kapten Bersekutu (PA) Mohd Hakim Mohd Nor.

Beliau berkata perkara itu dizahirkan oleh wakil Kementerian Luar Syria Muhammad Khalaf dalam pertemuan bersama delegasi Serantau Muslim di Pejabat Pentadbiran Syria di Damascus semalam, yang kini dalam rangka Misi Kemanusiaan Bina Semula Syria dari 19 hingga 26 Feb ini.

"Mereka melihat Malaysia sebagai contoh negara Islam yang berjaya membangunkan ekonominya berlandaskan prinsip Islam, sekali gus menjadi rakan strategik yang lebih sesuai berbanding negara-negara Barat yang turut menawarkan bantuan tetapi mungkin dengan agenda tertentu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hakim berkata kerajaan Syria sangat menghargai kepakaran Malaysia dalam kewangan Islam, perbankan, perladangan, pembangunan infrastruktur, industri tenaga dan air, serta teknologi tenaga boleh diperbaharui. 

"Mereka yakin pengalaman Malaysia dalam membangunkan negaranya sendiri berdasarkan citra Islam boleh menjadi panduan yang bermanfaat dalam usaha pemulihan dan pembangunan semula Syria," katanya.

Beliau berkata Syria turut memuji kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lantang dalam memperjuangkan keadilan global dan memperkukuhkan hubungan dunia Islam, dan atas dasar itu mereka amat berharap Malaysia dapat menzahirkan sokongan secara rasmi kepada kerajaan Syria yang baru dibentuk. 

Selain itu, Mohd Hakim berkata pihaknya juga berharap agar kerajaan dapat menghantar delegasi rasmi untuk memulakan rundingan yang akan membuka ruang besar kepada pelaburan, perdagangan serta bantuan kemanusiaan yang lebih tersusun dan berskala besar.

Beliau berkata Malaysia tidak boleh terlepas peluang itu, kerana selain memberi manfaat ekonomi dan diplomatik kepada negara, ia juga satu langkah strategik dalam memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemimpin dalam dunia Islam.

"Hubungan rasmi itu akan membolehkan syarikat-syarikat Malaysia memasuki pasaran Syria lebih awal, meneroka peluang pelaburan yang luas, serta menjadikan Malaysia sebagai pemain utama dalam usaha membangunkan semula Syria,” katanya.

Selain itu, Mohd Hakim berkata usaha menjadikan perhubungan antara kerajaan (G2G) lebih rasmi akan mempermudahkan pelaksanaan inisiatif kemanusiaan berskala besar yang diperlukan untuk membantu rakyat Syria bangkit semula selepas belasan tahun melalui tempoh sukar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan