BELANJAWAN 2025 > BERITA

Khaled, Saifuddin Ucap Takziah Kepada Keluarga Ishsam

23/02/2025 01:47 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning Ishsam Shahruddin yang meninggal dunia, semalam.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar, bukan sahaja kepada rakyat di Ayer Kuning dan negeri Perak, tetapi juga kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Saya doakan keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi dugaan terberat ini. Sama-sama kita doakan agar Allahyarham ditempatkan bersama golongan yang beriman,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham, sahabat handai serta penduduk DUN Ayer Kuning atas kehilangan itu.

“Semoga roh Allahyarham dilimpahi rahmat dan ditempatkan di kalangan hamba-Nya yang beriman,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ishsam, 59, meninggal dunia selepas menyertai perlawanan Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang, semalam disebabkan serangan jantung.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rapat Setia, Ipoh, Perak pada 10.40 pagi tadi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan