BELANJAWAN 2025 > BERITA

Fahmi Lancar Kursus “AI In The Newsroom” Anjuran Bernama

24/02/2025 12:16 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini melancarkan kursus AI in the Newsroom anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), kursus pertama dalam siri program latihan berkaitan AI untuk profesional media.

Bernama dalam kenyataan memaklumkan kursus dua hari yang disertai 40 wartawan dan editor daripada pelbagai organisasi media itu, bertujuan meningkatkan pemahaman mengenai kecerdasan buatan (AI) dan penggunaannya dalam kewartawanan moden.

Kursus itu berlangsung di Huawei Customer Solution Innovation Centre (CSIC), Integra Tower, The Intermark di ibu negara.

“Dengan kepakaran disediakan syarikat terkemuka dalam bidang AI dan infrastruktur digital seperti Huawei dan REDtone, kursus ini akan membolehkan peserta memperoleh pengalaman langsung dalam memanfaatkan AI untuk penghasilan berita, semakan fakta dan pengoptimuman kandungan,” menurut kenyataan itu.

Inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha Bernama untuk mempersiapkan wartawan menghadapi landskap media yang sedang berkembang, dengan AI memainkan peranan semakin penting dalam pengumpulan berita, penyuntingan dan penyebaran maklumat.

Kursus itu dapat dilaksanakan dengan peruntukan khas RM1 juta daripada kerajaan, sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di Kuching, Sarawak. 

Bernama komited untuk memperkasakan wartawan dengan literasi AI, memastikan bahawa walaupun AI meningkatkan kecekapan bilik berita, prinsip asas kewartawanan – ketepatan, kesahihan dan pelaporan beretika – tetap terpelihara tanpa sebarang kompromi.

Agensi berita itu telah melaksana langkah progresif dalam penggunaan penyelesaian berasaskan AI bagi penghasilan berita dan produksi video, menetapkan penanda aras dalam industri media Malaysia.

Dengan kursus pertama ini, Bernama mengukuhkan peranannya sebagai peneraju dalam penggunaan AI dalam sektor media, melengkapkan wartawan dengan kemahiran yang diperlukan untuk mengharungi masa depan di mana AI dan kepakaran manusia bergerak seiring.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan