KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Malaysia tuan rumah kejohanan hoki lelaki Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) yang dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 21 Jun, tahun ini.
FIH dalam pengumumannya memaklumkan, kejohanan yang disertai lapan negara itu akan diadakan di ibu negara dengan juara akan layak beraksi di Liga Profesional 2025-26.
Selain Malaysia yang berada di ranking ke-13 dunia, turut beraksi pada kejohanan edisi ketiga kali ini ialah pasukan di ranking kesembilan Perancis, Afrika Selatan (11), New Zealand (12), Korea Selatan (14), Pakistan (15), Jepun (16) dan Wales (18).
Presiden FIH Tayyab Ikram menzahirkan rasa gembira untuk melihat kejohanan itu kembali ke Malaysia selepas kali terakhir kejohanan FIH dianjurkan di negara ini iaitu Piala Dunia Remaja 2023.
“Tuan rumah sentiasa menjadi penganjur kejohanan hoki yang hebat dan perkara sama diharapkan untuk Piala Negara-Negara ini. Bagi pihak FIH, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan di Malaysia.
“Saya ingin mengucapkan selamat kepada semua, dan terutamanya pemain semoga dapat memanfaatkan pengalaman ini sebaik mungkin untuk berkembang dan mencapai tahap seterusnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (MHC) Datuk Seri Subahan Kamal mengakui teruja dan yakin penganjuran kejohanan itu akan membawa bakat-bakat hoki dunia ke Malaysia.
“Kita amat bertuah kerana FIH memberikan kepercayaan kepada kita untuk menganjurkan kejohanan menakjubkan ini buat kali pertama. Kita juga berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang menyokong usaha kami untuk menganjurkan kejohanan ini,” katanya.
Kejohanan yang dilancarkan pada Jun 2021 merupakan pentas pertandingan tertinggi menampilkan pasukan terbaik yang tidak menyertai Liga Profesional, dan memberi peluang kepada pasukan juara untuk beraksi di liga berkenaan pada musim berikutnya.
Afrika Selatan selaku tuan rumah edisi 2022, muncul juara pada edisi di Potchefstroom manakala New Zealand pada edisi 2023-24 di Gniezno, Poland.
Malaysia menduduki tempat keempat pada edisi pertama, dan ketujuh pada edisi tahun lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial