PETALING JAYA, 24 Feb (Bernama) -- Sime Darby Bhd (Sime Darby) menjangkakan persaingan sengit dalam bahagian permotorannya tahun ini, berikutan lebihan bekalan kenderaan dari China, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Jeffri Salim Davidson.
Katanya, ketika ini terdapat pengeluaran berlebihan terutama oleh pengeluar peralatan asal (OEM) di China.
“Kami melihat sedikit lebihan kapasiti dalam eksport dan pemotongan harga yang berlaku di China kini dipindahkan ke pasaran lain.
“Ia akan kekal mencabar di China dan saya rasa ia akan menjadi lebih sukar di beberapa pasaran lain,” katanya pada taklimat media di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan Sime Darby Motors Andrew Basham berkata sembilan cawangannya di China ditutup pada separuh pertama tahun kewangan 2025, dengan dua atau tiga lagi cawangan dijangka ditutup dalam tempoh beberapa bulan lagi.
Bagi tempoh separuh pertama berakhir 31 Dis, 2024, perolehan hasil bahagian permotoran merosot kepada RM17.45 bilion daripada RM18.80 bilion dalam tempoh sebelumnya, didorong oleh jumlah jualan yang rendah hingga memberi kesan kepada keuntungan.
Sementara itu, bagi tempoh separuh pertama tahun kewangan 2025, perolehan hasil bahagian permotoran bagi operasi automotif di Malayia berada pada RM3.79 bilion, China (RM6.41 bilion), Australasia (RM2.64 bilion), Singapura dan lain-lain (RM4.61 bilion).
Penurunan dalam perolehan hasil bahagian permotoran daripada operasi automotif di China disebabkan oleh jumlah jualan kenderaan dan margin yang rendah.
Justeru, Sime Darby menjangkakan pembaharuan dasar tukar beli, kos pinjaman yang lebih rendah dan model kenderaan elektrik (EV) yang lebih mampu milik akan memacu pertumbuhan bahagian permotorannya di China pada 2025.
Bagaimanapun, syarikat itu menyedari cabaran berterusan, termasuk persaingan sengit, pemotongan harga besar-besaran dan permintaan domestik yang lemah akan terus memberi tekanan kepada pasaran automotif.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial