BERITA TERGEMPAR | Hud Aryan's body found stuck at a tree near the river bank in Tanah Merah this afternoon - Fire and Rescue Department | |
KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) BERNAMA (Pindaan) 2024, antaranya bertujuan menjadikan industri media lebih inklusif.
Pindaan terhadap Akta BERNAMA 1967 (Akta 780) yang kali pertama dibuat sejak akta itu digubal pada 1967, diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan lapan Ahli Parlimen.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil ketika membentangkannya untuk bacaan kali kedua berkata penggubalan RUU tersebut bertujuan memastikan komposisi baharu yang lebih dinamik sejajar dengan perkembangan dan keperluan semasa industri media.
“RUU ini bukan sekadar menawarkan reformasi kepada landskap media dan digital, malah akan menjadikan aspek komunikasi kerajaan lebih efektif dalam mendepani cabaran semasa.
"Ia menjadikan industri media lebih inklusif bukan sahaja terdiri daripada tuan punya surat khabar malah turut melibatkan media cetak, elektronik dan digital,” katanya.
Fahmi berkata pindaan itu turut mempertingkatkan ekosistem digital selaras kerangka Malaysia MADANI dengan mengoptimumkan penggunaan media digital seiring media konvensional lain bagi membawa keseimbangan antara kedua-dua jenis media.
Pindaan ini juga selari dengan visi Kementerian Komunikasi untuk memperkasakan jaringan serta infrastruktur digital dan komunikasi sosial dalam menyebarluaskan maklumat kenegaraan kepada rakyat.
Melihat kepada perkembangan media terutamanya media cetak mutakhir ini dan bagi mengukuhkan pengawalseliaan Bernama, Fahmi berkata Kementerian Komunikasi mendapati keperluan supaya kuorum “wakil tuan punya surat khabar” diperluas kepada “wakil organisasi media”.
RUU itu meminda Seksyen 2 Akta 780 bagi memasukkan satu tafsiran baharu “organisasi media” yang merangkumi bukan sahaja media cetak (surat khabar dan apa-apa medium percetakan) tetapi turut meliputi komunikasi massa iaitu media elektronik dan digital, seiring dengan ledakan teknologi dan digital masa kini.
Pada masa sama, Fahmi menegaskan pindaan Akta 780 membuktikan komitmen kerajaan MADANI dalam mewujudkan ekosistem media yang berintegriti dan adil di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kerajaan ingin menegaskan bahawa pindaan yang ingin dibuat adalah selaras dengan keperluan terhadap aspek pengemukaan bahan berita yang dilihat berkembang pesat seiring kemajuan dunia teknologi dan digital pada masa kini.
"Secara dasarnya, melalui pendekatan dalam pindaan yang dilaksanakan, ia akan memperkukuh perjalanan operasi Bernama dengan lebih efektif dan maju seiring dengan perkembangan semasa," katanya.
Ketika menggulung perbahasan RUU itu, Fahmi berkata beliau telah meminta Kementerian Komunikasi meneliti semula hala tuju pertubuhan berita itu seiring dengan pindaan akta berkenaan.
"Apakah hala tuju bagi badan berkanun yang sangat penting ini, bukan hanya untuk menyampaikan maklumat berkaitan dasar kerajaan tetapi menjadi suara kerajaan Malaysia di peringkat antarabangsa," katanya.
Akta 780 digubal bertujuan menubuhkan dan memperbadankan Bernama khusus sebagai agensi perkhidmatan berita nasional bagi menyebarluaskan berita ke seluruh negara.
Bernama memainkan peranan penting dalam memastikan penyampaian maklumat dan pelaporan berita mengenai dasar-dasar kerajaan dilaksanakan dengan efektif, di samping menjadi sumber rujukan utama organisasi media tempatan dan antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial