BERITA TERGEMPAR   Hud Aryan's body found stuck at a tree near the river bank in Tanah Merah this afternoon - Fire and Rescue Department | 
 BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia Terajui Kerjasama Keselamatan Siber, Inisiatif Data Rentas Sempadan Di ASEAN

26/02/2025 03:35 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Malaysia menerajui pembangunan Strategi Kerjasama Keselamatan Siber ASEAN 2026-2030 yang merupakan satu inisiatif berpandangan ke hadapan bertujuan meningkatkan kerjasama dan daya tahan serantau.

Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong berkata sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia juga akan berusaha untuk memastikan aliran data rentas sempadan yang penting bagi mengukuhkan keselamatan siber serantau.

Beliau menekankan kepentingan rangka kerja tadbir urus data yang teguh seperti Kerangka Kerja Pengurusan Data ASEAN (DMF) dan Model Klausa Kontrak (MCC) ASEAN, dalam memastikan keselamatan data, pematuhan peraturan dan operasi perniagaan rentas sempadan yang lancar.

Bagaimanapun, undang-undang perlindungan data yang berbeza dalam kalangan negara-negara ASEAN menjadikannya satu cabaran, katanya.

"Bagi menangani isu ini, kita mesti mewujudkan dasar yang harmoni, melaksanakan penilaian risiko secara berkala, dan membina infrastruktur yang kukuh.

"Mengukuhkan keselamatan siber di samping usaha di peringkat serantau akan mewujudkan persekitaran digital yang selamat, berdaya tahan, memperkasakan perniagaan, terutamanya perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS), bagi memanfaatkan peluang rentas sempadan dengan amanah dan pematuhan," kata beliau dalam ucapan pembukaannya pada prapelancaran Perkhidmatan Pertahanan Digital Siber dan Keselamatan Asia (CyberDSA) 2025 di sini hari ini.

Wilson Ugak mewakili menterinya, Gobind Singh Deo.

Bertemakan 'Merintis Masa Depan Negara Digital Berdaya Tahan,' CyberDSA 2025 akan menampilkan lebih 150 pempamer dari 30 negara, 80 delegasi dari 20 negara, dan 100 penceramah bertaraf dunia, menarik lebih 8,000 pelawat perdagangan dari seluruh dunia.

Timbalan menteri itu berkata dengan sasaran kehadiran yang lebih tinggi, diharapkan CyberDSA 2025 akan melepasi transaksi perniagaan pada tahun lepas.

Pada 2024, acara berkenaan menyaksikan sebanyak 15 memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani dan menjana nilai perniagaan yang dianggarkan sebanyak RM120 juta, menekankan peranan CyberDSA sebagai pemacu utama kemajuan ekonomi dan teknologi.

Berlangsung dari 30 September hingga 2 Oktober, acara penting ini akan berfungsi sebagai platform untuk meningkatkan daya tahan keselamatan siber, memupuk kerjasama antarabangsa, dan mempercepatkan pembangunan serta penggunaan penyelesaian keselamatan yang dipacu oleh AI.

Sejak penubuhannya pada 2023, CyberDSA telah muncul sebagai acara keselamatan siber utama di Malaysia yang berfokuskan kandungan, direka oleh industri, untuk industri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan