BERITA TERGEMPAR | Hud Aryan's body found stuck at a tree near the river bank in Tanah Merah this afternoon - Fire and Rescue Department | |
SEPANG, 26 Feb (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan melaksanakan program rakan muda khusus untuk golongan orang kurang upaya (OKU) dalam masa terdekat.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata sebagai permulaan program rakan muda OKU itu akan dilaksanakan bersama-sama program latihan kemahiran inklusif belia autisme dan berkeperluan khas di 13 Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) .
Beliau berkata pelaksanaan program itu bagi memberi ruang kepada pelajar program berkenaan untuk mencungkil bakat mereka terutama dalam bidang sukan.
“Macam di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Sepang ini, kita bukan sahaja ada fasiliti untuk mereka belajar tetapi juga ada fasiliti sukan seperti padang bola. Jadi kalau pagi mereka belajar, petang sepatutnya mereka boleh diajar skil untuk bersukan.
“Menerusi cara ini mungkin kita dapat mencari bakat baharu untuk sukan ... atlet paralimpik boleh wujud di sini,” katanya selepas mengadakan lawatan rasmi ke IKTBN Sepang hari ini bagi meninjau pelaksanaan program latihan kemahiran inklusif belia autisme dan berkeperluan khas..
Sementara itu, KBS dalam kenyataan berharap program itu dapat terus berkembang dan menjadi sumber inspirasi kepada lebih ramai ibu bapa untuk yakin serta memberikan sokongan kepada belia istimewa dalam mencapai potensi sebenar.
Menurut kenyataan itu, pendidikan kemahiran yang inklusif bukan sahaja melahirkan individu lebih berdikari, tetapi juga memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara secara mampan.
Sejak diperkenalkan pada 2018, seramai 287 belia autisme dan berkeperluan khas telah menerima manfaat daripada program berkenaan yang dilaksanakan di 13 ILKBS seluruh negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial