LONDON, 27 Feb (Bernama-PA Media/dpa) -- Pelakon Amerika Syarikat, Michelle Trachtenberg yang terkenal dengan wataknya "Buffy The Vampire Slayer" dan "Gossip Girl", meninggal dunia pada usia 39 tahun.
Jabatan Polis New York mengesahkan kematiannya kepada agensi berita PA dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pihak polis menerima panggilan kecemasan sekitar 8 pagi waktu tempatan di One Columbus Place, New York, namun Trachtenberg disahkan meninggal dunia selepas pasukan kecemasan tiba.
Siasatan pihak polis tidak menemui sebarang unsur jenayah dan pihak berkuasa memaklumkan bahawa pemeriksaan perubatan akan menentukan punca kematiannya.
Trachtenberg, yang dilahirkan pada 11 Okt 1985 di New York City, memulakan kerjaya lakonan seawal usia tiga tahun dengan membintangi iklan sebelum memperoleh peranan dalam beberapa siri televisyen.
Dia menempa nama sebagai bintang utama dalam filem "Harriet The Spy" (1996), dengan melakonkan watak seorang gadis berusia 11 tahun yang gemar mengintip jiran serta rakan sekelasnya sambil menulis diari yang penuh dengan imaginasi liar.
Trachtenberg turut dikenali menerusi wataknya sebagai Penny dalam filem perisik "Inspector Gadget" (1999) dan Jenny dalam filem komedi "EuroTrip" (2004).
Dia menyertai siri popular "Buffy The Vampire Slayer" pada musim kelima sebagai Dawn, adik kepada Buffy dan kekal sebagai pelakon utama sehingga siri itu berakhir pada 2003.
Trachtenberg juga melakonkan watak sebagai Georgina Sparks dalam siri "Gossip Girl" musim kedua.
-- BERNAMA-PA Media/dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial