BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia, Indonesia Perkukuh Kerjasama Keselamatan Maritim

27/02/2025 05:28 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 27 Feb (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Badan Keamanan Laut Indonesia (Bakamla) menegaskan komitmen untuk memperkukuh kerjasama maritim bagi menjamin keselamatan perairan kedua-dua negara bagi kepentingan semua pengguna laut.

Dalam satu pertemuan di Jakarta Timur pada Khamis, Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah dan Ketua Bakamla Laksamana Madya Irvansyah mengadakan perbincangan lebih sejam.

Topik yang dibincangkan termasuk usaha memperkukuh kerjasama dalam operasi maritim, pembangunan kapasiti, latihan, inisiatif sosial dan perkara yang menjadi kepentingan bersama kedua-dua pihak.

Bercakap kepada media, Mohd Rosli yakin bahawa kerjasama erat antara kedua-dua agensi mampu menyelesaikan pelbagai perkara yang timbul dengan lebih berkesan dalam memastikan keselamatan perairan.

“Bagi menjamin keselamatan perairan kedua-dua negara, kita akan memperluaskan kerjasama dalam operasi, pembangunan kapasiti, latihan, dan aktiviti sosial bagi mempererat hubungan antara agensi,” katanya.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Penolong Atase Pertahanan (Laut) di Kedutaan Besar Malaysia, Komander Nor Izam Baharudin.

Sementara itu, Irvansyah turut menegaskan kepentingan memperkukuh hubungan dalam usaha memastikan keselamatan perairan kedua-dua negara.

“Sebagai negara serumpun, saya berharap kerjasama ini akan terus berkembang agar perairan maritim kedua-dua negara kekal selamat, tenteram, dan terjamin untuk semua pengguna laut,” katanya.

Komitmen kedua-dua agensi ini mengorak satu lagi langkah ke hadapan dalam usaha berterusan Malaysia dan Indonesia untuk memperkukuh keselamatan demi kestabilan maritim serantau.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan