BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kelahiran Di Jepun Jatuh Ke Rekod Terendah 721,000 Pada 2024

27/02/2025 06:49 PM

TOKYO, 27 Feb (Bernama-Kyodo) -- Jumlah kelahiran di Jepun pada 2024 menurun daripada tahun sebelumnya kepada 720,988, menandakan rekod terendah tahun kesembilan berturut-turut, menurut data kementerian kesihatan pada Khamis.

Menurut Agensi Berita Kyodo, angka itu, termasuk warga asing, menurun sebanyak 5 peratus berbanding tahun sebelumnya, kerana lebih ramai individu memilih untuk berkahwin pada usia yang lebih lewat dan kebimbangan meningkat mengenai penjagaan anak kerana kos sara hidup yang lebih tinggi.

Jumlah kematian pada 2024 meningkat sebanyak 28,181 kepada rekod 1,618,684, dan penurunan semula jadi, yang dikira dengan menolak bilangan kelahiran, mencapai rekod tertinggi iaitu 897,696, menurut data awal yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan.

Kelahiran menurun di semua 47 wilayah Jepun berbanding tahun sebelumnya, menurun pada kadar yang lebih cepat daripada unjuran kerajaan dan tidak menunjukkan tanda-tanda berkurangan.

Jumlah pasangan yang berkahwin adalah 499,999, meningkat 10,718 berbanding 2023, apabila angka tersebut jatuh di bawah 500,000 buat pertama kali dalam tempoh 90 tahun. Jumlah perkahwinan telah terjejas dengan ketara oleh pandemik COVID-19.

Jumlah bayi yang dilahirkan oleh warganegara Jepun pada 2024, yang dijangka akan dikeluarkan oleh kementerian sekitar Jun, dijangka akan jatuh di bawah 700,000 untuk pertama kalinya berikutan trend penurunan tersebut.

Institut Penyelidikan Penduduk dan Keselamatan Sosial Kebangsaan tidak mengunjurkan kelahiran turun di bawah 700,000 sehingga 2038.

-- BERNAMA-KYODO


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan