BELANJAWAN 2025 > BERITA

ASEAN Perlu Tingkatkan Kesepaduan Dalaman, Pelbagaikan Kerjasama Dalam Mendepani Cabaran Global

28/02/2025 02:11 PM

KOTA TINGGI, 28 Feb (Bernama) -- ASEAN perlu meningkatkan kesepaduan dalaman dan mempelbagaikan kerjasama luarannya untuk mendepani cabaran ekonomi global, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata penting untuk ASEAN menilai situasi dinamik ini dan memahami kemungkinan yang dapat memberi impak besar kepada landskap ekonomi serantau.

Dalam ucapan perasmiannya semasa mempengerusikan Permukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) Ke-31 di Desaru, beliau menegaskan bahawa memperkukuh integrasi ekonomi serantau dapat membantu mengurangkan impak daripada perubahan dasar oleh negara-negara utama.

Beliau turut menekankan kepentingan memacu inisiatif seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan meningkatkan kerjasama dengan rakan global.

“Antara inisiatif itu ialah cadangan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, yang akan dibentangkan oleh Malaysia pada permukiman ini,” katanya.

Beliau turut mengiktiraf semangat perpaduan ASEAN yang telah dan akan terus menjadi asas kepada kemajuan blok ini.

“Saya menggalakkan kita semua untuk mengadakan perbincangan dengan minda terbuka, semangat kerjasama dan komitmen untuk memajukan kepentingan bersama kita. Saya menantikan perbincangan yang memberikan manfaat dan hasil positif daripada permukiman AEM ini,” katanya.

Mengenai pertumbuhan ekonomi ASEAN, katanya pelaburan langsung asing ke rantau ini melonjak daripada US$129.9 bilion pada 2014 kepada US$229.8 bilion pada 2023, menggariskan tarikan ASEAN yang berterusan kepada pelabur asing.

“Prospek ekonomi rantau kita kekal optimis dengan unjuran pertumbuhan sebanyak 4.6 peratus pada 2024 dan terus meningkat kepada 4.7 peratus pada 2025.

“Walaupun dilihat sederhana pada masa ini, ia adalah petunjuk yang baik mengenai keadaan ekonomi rantau kita yang berkembang,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan