BELANJAWAN 2025 > BERITA

PM Anwar Ajak Umat Islam Amal Ihsan, Adab Bagi Memaknai Ramadan

28/02/2025 10:17 PM

PUTRAJAYA, 28 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak umat Islam di negara ini untuk mengamalkan sikap ihsan dan beradab bagi memaknai ibadah pada bulan Ramadan.

Beliau berkata Ramadan adalah ‘madrasah’ terbaik bagi mendidik diri dari segi integriti, disiplin serta dimensi sosial.

"Ramadan menyedarkan kita tentang empati, keprihatinan terhadap golongan yang kurang bernasib baik.

"Masalah kita apa? Ritual (ibadah) semua pandai... tetapi penghayatannya kurang," kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian di hadapan jemaah selepas menunaikan solat Jumaat di masjid Sekolah Sultan Alam Shah di sini hari ini, sempena Ramadan yang bakal tiba.

Perdana Menteri turut menekankan kepentingan menerapkan nilai adab dalam falsafah pendidikan anak-anak muda di Malaysia.

"Jika adab tidak ada, (kita mungkin) cemerlang dengan segala kekayaan dan kemewahan tetapi ada peluang sakau... ada peluang kecam, ada peluang tindas.

"Ini maknanya pendidikan yang tidak mempunyai nilai etika dan moral,” kata beliau.

Perdana Menteri kemudian turut meluangkan masa beramah mesra bersama pelajar sekolah berkenaan.

Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan