BELANJAWAN 2025 > BERITA

ASEAN 2025: Malaysia Mampu Isi Kelompangan Pemimpin Serantau, Perkukuh Pengaruh

01/03/2025 10:26 AM

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

PUTRAJAYA, 1 Mac (Bernama) -- Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN, mempunyai peluang tersendiri untuk mengisi kelompangan dalam kepimpinan serantau dan mengukuhkan pengaruh, terutamanya di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata penganalisis politik Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian.

Beliau berkata melalui kepimpinan yang kukuh dan usaha bersama, Malaysia dapat mengembalikan kedudukan sebagai kuasa besar serantau dan contoh kepemerintahan yang progresif.

Sivamurugan berkata Anwar mampu membawa Malaysia ke arah masa depan lebih inklusif, stabil dan makmur menerusi diplomasi strategik, tadbir urus berperikemanusiaan dan pemulihan ekonomi.

"Malaysia di bawah Anwar perlu menggunakan kepimpinan karismatik dan transformasinya untuk menjadikan keterangkuman dan kemampanan sebagai agenda utama dalam memperkukuh Komuniti ASEAN dan 'rasa kebersamaan' melalui kepimpinan yang akan dikagumi pihak lain.

"Terdapat kelompangan dalam kepimpinan serantau dan kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN akan mengembalikan kepimpinan yang hilang itu di rantau ini," katanya kepada Bernama.

Sivamurugan, pensyarah sosiologi politik di Universiti Sains Malaysia (USM), berkata Malaysia mempunyai potensi untuk menonjol semula di rantau ini, mengikuti era pemimpin ASEAN yang berpengaruh seperti Lee Kuan Yew, Joko Widodo, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Thaksin Shinawatra.

Beliau berkata karier politik Anwar yang begitu lama, dengan komitmen mendalam terhadap rundingan dan diplomasi, menjadikan beliau individu sesuai untuk menjadi perantara dalam menyelesaikan isu serantau yang kompleks, seperti krisis Myanmar dan bencana kemanusiaan di Gaza.

"Diplomasi Anwar di sebalik tabir dan hubungannya dengan bekas dan pemimpin global masa kini, dapat membantu penyelesaian menang-menang terhadap pelbagai cabaran kemanusiaan dan serantau," katanya.

Beliau berkata tumpuan Anwar terhadap kepimpinan berperikemanusiaan dan pendiriannya yang tegas dalam keadilan kemanusiaan terutamanya berkaitan perjuangan Palestin, telah meningkatkan penghormatan terhadap beliau dalam kalangan negara Islam sekali gus mengukuhkan kredibiliti Malaysia dalam hal ehwal Islam peringkat global.

Selain itu, Sivamurugan berkata Malaysia juga mesti mengutamakan daya tahan ekonomi dan kestabilan politik untuk meraih semula status sebagai harimau Asia yang sedang bangkit, dan menerusi kepimpinan Anwar, kestabilan politik dapat meningkatkan keyakinan pelabur, menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan memacu pertumbuhan ekonomi.

Sebagai satu daripada blok perdagangan paling dinamik di dunia, ASEAN mempunyai potensi besar untuk FDI. Dengan pasaran kolektif lebih 650 juta orang dan lokasi strategik menjadikan rantau ini sebagai destinasi menarik bagi pelabur antarabangsa.

Menurut Laporan Pelaburan ASEAN 2024, aliran masuk FDI ke blok berkenaan mencapai rekod US$230 bilion pada 2023. Walaupun peningkatannya kecil – kurang daripada satu peratus – ia tetap berlaku meskipun terdapat penurunan 10 peratus dalam FDI global.

"Dengan dasar ekonomi bersepadu dan usaha berterusan untuk meningkatkan kesalinghubungan dan kemudahan perdagangan, ASEAN berada di landasan untuk menjadi pemain lebih berpengaruh dalam ekonomi global," katanya.

Sivamurugan berkata sebagai pengerusi, Malaysia boleh memanfaatkan momentum ini untuk menarik pelaburan dan memperkukuh kerjasama ekonomi dalam rantau ini.

"Keazaman politik dan motivasi akan menjadi penggerak utama di sebalik kepimpinan Anwar yang berkarisma. Beliau memerlukan sokongan tidak berbelah bahagi pada peringkat domestik, serantau dan global untuk melaksanakan reformasi dan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan