BELANJAWAN 2025 > BERITA

JPN Sasar Selesaikan Lebih 12,000 Masalah Pengenalan Diri Pelajar Pada Jun

01/03/2025 03:34 PM

MARANG, 1 Mac (Bernama) -- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyasarkan untuk menyelesaikan kesemua 12,101 masalah keciciran dokumentasi membabitkan pelajar sekolah aliran perdana di seluruh negara seawal Jun ini.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Badrul Hisham Alias berkata usaha menerusi inisiatif MEKAR DIDIK yang merupakan nilai tambah kepada Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) JPN itu kini telah menyelesaikan kira-kira 35 peratus masalah sejak dilancarkan November tahun lepas.

“Daripada jumlah keseluruhan yang turut babitkan pelajar bukan warganegara itu, Sabah mencatatkan bilangan tertinggi sasaran iaitu 6,997, diikuti Selangor sebanyak 1,833 dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 496.

“Setakat ini, setelah beberapa bulan ia bermula … semua negeri telah mengadakan perjumpaan dengan Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri. Di Sabah, kita telah berjumpa dengan pengarah pendidikan dan insya-Allah akan dapat kelulusan untuk masuk ke semua sekolah dalam masa terdekat.

“Jadi, dengan jumlah di Sabah yang hampir 7,000 itu, kalau boleh masuk, saya ingat sasaran kita akan dapat selesaikan semua masalah keciciran dokumentasi di sekolah aliran perdana hingga Jun atau Disember tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan projek baik pulih rumah asnaf melalui inisiatif Kampung Angkat MADANI JPN di Kampung Padang Tanjung, di sini hari ini.

MEKAR DIDIK yang juga hasil kolaborasi dengan Kementerian Pendidikan bertujuan mengatasi isu keciciran dalam kalangan pelajar sekolah yang layak, namun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri seperti Sijil Lahir, Kad Pengenalan (MyKad) dan Sijil Kewarganegaraan.

Dalam perkembangan berasingan, Badrul Hisham berkata JPN komited dalam membasmi isu penggunaan MyKad palsu meskipun berdepan kesukaran apabila kegiatan itu menurutnya, dijalankan secara sindiket.

“Kita sebenarnya buat tangkapan setiap hari, tetapi disebabkan ia bersindiket, jumlahnya tidak besar. Baru-baru ini kita tahan 16 warga Indonesia kerana guna MyKad palsu dan milik orang lain.

“Justeru, seperti yang disebut Timbalan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah), inisiatif kita untuk selesaikan masalah ini adalah dengan menggunakan MyKad generasi baharu yang lebih canggih dan akan beri keupayaan kepada masyarakat untuk kenal pasti ia palsu atau tidak,” katanya.

Shamsul Anuar sebelum ini dilaporkan berkata penggantian kad pengenalan struktur baharu itu bertujuan memastikan kad pengenalan bakal dikeluarkan JPN kelak mempunyai ciri keselamatan tinggi, selamat dan dipertingkat selari dengan perkembangan teknologi keselamatan terkini.

Pada program hari ini, beliau berkata JPN telah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan antaranya untuk kerja baik pulih dan pembinaan longkang, dewan serbaguna dan balai raya serta taman permainan di kampung berkenaan menerusi peruntukan berjumlah RM1 juta. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan