Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Langkah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membayar dividen 6.30 peratus bagi 2024 dijangka dapat merangsang aktiviti ekonomi selain menyumbang kepada pertumbuhan negara, kata ahli ekonomi.
Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia Dr Yeah Kim Leng berkata beliau optimis pembayaran dividen yang juga tertinggi dalam tempoh tujuh tahun itu dapat memacu simpanan lebih 16 juta ahli dana persaraan itu, sekali gus meningkatkan kesejahteraan masa depan mereka.
“Ini akan turut menyumbang kepada pengeluaran lebih tinggi bagi mereka yang layak selain meningkatkan wang yang dibelanjakan atau dilaburkan dan seterusnya merangsang aktiviti ekonomi," katanya kepada Bernama.
Terdahulu, Lembaga KWSPmengumumkan kadar dividen masing-masing 6.30 peratus bagi Simpanan Konvensional dengan jumlah agihan RM63.05 bilion serta 6.30 peratus untuk Simpanan Shariah yang melibatkan jumlah agihan RM10.19 bilion.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan agihan untuk 2024 sebanyak RM73.24 bilion, didorong oleh pemulihan pasaran global dan domestik, pertumbuhan ekonomi yang kukuh serta pengurusan portfolio yang berhemah.
Bagi tahun berakhir 31 Dis, 2024, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan RM74.46 bilion, meningkat 11 peratus daripada RM66.99 bilion yang direkodkan pada 2023.
Sementara itu, Ahli Ekonomi Prof Geoffrey Williams berkata dividen lebih tinggi itu akan meningkatkan lagi jumlah simpanan ahli KWSP yang aktif.
“Keadaan itu akan menambah jumlah pemindahan ke Akaun Fleksibel dan mendorong kepada peningkatan penggunaan pada tahun ini dan seterusnya menyokong pertumbuhan ekonomi," katanya.
Strategi pempelbagaian KWSP terbukti berkesan
Mengulas selanjutnya, Yeah berkata kadar dividen bagi 2024 yang kira-kira dua kali lebih tinggi daripada purata kadar simpanan tetap juga membuktikan prestasi KWSP wajar dipuji, bukan hanya disebabkan oleh pulangan amat memberangsangkan tetapi konsisten dalam menjana pulangan tinggi setiap tahun.
“Prestasi KWSP yang kukuh dan stabil juga menarik perhatian banyak dana persaraan dan pelaburan di dalam dan luar Malaysia berikutan peningkatan ketidaktentuan global dan pasaran kewangan," katanya.
Pandangan sama turut dikongsi oleh Williams yang memuji strategi KWSP dari segi strategi pempelbagaian portfolio yang terbukti berkesan.
Menurutnya, prestasi KWSP yang lebih baik itu juga disumbangkan oleh strategi pelaburan yang mantap, langkah melepaskan aset berprestasi rendah selain pulangan kukuh daripada pelaburan luar negara.
“Setakat ini, prestasi interim KWSP terbukti amat kukuh, didorong oleh strategi pelaburan yang baik, menseimbangkan porfolio dan hasil pelaburan luar negara yang mantap,” katanya.
Mengemudi ketidaktentuan global, prospek 2025
Mengulas prospek, Yea berkata KWSP dijangka mengemudi ketidaktentuan global berterusan dengan strategi peruntukan portfolio yang kukuh serta berdaya tahan.
Beliau juga menyifatkan ketidaktentuan dasar Presiden Amerika Syarikat Donald Trump juga boleh menjejaskan ekonomi dan pasaran kewangan global, sekali gus menyukarkan KWSP mengekalkan prestasi tahun lepas.
“Selagi KWSP mampu menjana pembayaran dividen yang lebih tinggi daripada kadar inflasi dan mengatasi dana persaraan lain, simpanan ahli-ahlinya kekal kukuh,” katanya.
Selain itu, Williams juga yakin cabaran global akan mereda walaupun masih wujud ketidaktentuan dalam persekitaran ekonomi.
“Prestasi KWSP yang baik ini dijangka berterusan sehingga 2025,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial