BELANJAWAN 2025 > BERITA

Akses Portal STR Guna MyDigital ID Bermula Hari Ini - LHDN

01/03/2025 05:04 PM

PUTRAJAYA, 1 Mac (Bernama) -- Pemohon dan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kini mempunyai alternatif untuk mengakses portal STR menggunakan Identiti Digital Malaysia (MyDigital ID) bagi semakan dan permohonan baharu STR bermula hari ini.

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) berkata langkah itu diambil selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Belanjawan 2025 mengenai kelebihan MyDigital ID sebagai pemudah cara utama dalam urusan digital rakyat dan berfungsi sebagai paksi kepada transformasi digital negara. 

MyDigital ID merupakan identiti tunggal rakyat Malaysia dalam mengakses sistem-sistem yang disediakan oleh agensi kerajaan. 

Seiring pengenalan tersebut, LHDN mula menggunakan MyDigital ID sebagai pilihan Single Sign On (SSO) untuk Sistem Percukaian MyTax LHDN (MyTax) dan Sistem Bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (MySTR).

Penggunaan MyDigital ID sebagai pilihan SSO untuk sistem MyTax merupakan kemudahan pertama yang dibangunkan oleh LHDN dan telah mula dilaksanakan pada 1 Jan ini bagi fungsi carian Nombor TIN (Tax Identification Number).

LHDN memaklumkan sehingga kini 578,828 orang pengguna telah menggunakan MyDigital ID untuk mengakses perkhidmatan MyTax bagi carian Nombor TIN.

“Data ini menunjukkan tanda positif serta penerimaan pengguna terhadap kelebihan MyDigital ID yang dipercayai, selamat dan efisien digunakan,” menurut kenyataan itu. 

Sebagai rekod, LHDM berkata 9,665,476 pengguna portal STR bakal menggunakan kemudahan ini dan dijangka jumlah pengguna akan bertambah seiring dengan permohonan STR yang dibuka sepanjang tahun. 

LHDN ingin menasihatkan kepada pengguna atau pemohon bahawa mereka masih boleh menggunakan kedua-dua ID iaitu MySTR atau MyDigital ID untuk mengakses portal STR menerusi pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan