Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 1 Mac (Bernama) -- Tiga negara penderma utama, China, Jepun dan Korea Selatan, mengesahkan komitmen mereka untuk meneruskan bekalan beras kecemasan bagi memperkukuh keterjaminan makanan di rantau ASEAN ketika berdepan krisis iklim.
ASEAN Campur Tiga bersama anggota ASEAN bersetuju untuk membekalkan beras bagi menyokong inisiatif "Rizab Kecemasan Beras ASEAN Campur Tiga (APTERR)" demi memastikan bekalan makanan mencukupi dalam situasi kecemasan yang tidak dijangka.
Pada Mesyuarat Majlis APTERR ke-13 di Tokyo bulan lalu, ahli memberi keutamaan kepada isu keterjaminan makanan di rantau ini, yang menjadi tempat tinggal bagi kira-kira 670 juta penduduk.
Antara isu utama yang dibincangkan termasuk tindak balas terhadap bencana, kesan perubahan iklim, pengurangan kadar kemiskinan dan konflik geopolitik yang menjejaskan rantaian bekalan makanan global, menurut kenyataan media APTERR.
Pengurus Besar Sekretariat APTERR yang berpangkalan di Bangkok, Choomjet Karnjanakesorn berkata pelbagai inisiatif baharu dibincangkan bagi menangani cabaran tidak dijangka terhadap keterjaminan makanan di Asia Tenggara.
“Beberapa inisiatif telah dibincangkan secara produktif bagi meneroka kemungkinan dan pelaksanaannya untuk mengukuhkan mekanisme APTERR sedia ada.
“Kebanyakan inisiatif ini selaras dengan cadangan daripada kajian sistematik yang dijalankan oleh Bank Pembangunan Asia,” katanya kepada Bernama.
Negara-negara Asia Tenggara sering terdedah kepada pelbagai bencana alam seperti gempa bumi, taufan bermusim, monsun, banjir besar, tsunami, tanah runtuh dan letusan gunung berapi.
Bencana-bencana itu bukan sahaja memusnahkan hasil tanaman dan pengeluaran beras, malah menyebabkan ribuan penduduk hilang tempat tinggal serta merosakkan infrastruktur penting seperti komunikasi dan bekalan tenaga.
“Sekretariat APTERR akan terus bekerjasama rapat dengan negara anggota dan organisasi berkaitan untuk melaksanakan inisiatif (bekalan beras) ini.
“Sebaik sahaja langkah-langkah yang boleh dilaksanakan segera dikenal pasti, ia akan dipercepatkan untuk mempertingkatkan lagi mekanisme APTERR,” kata Choomjet.
Sebagai satu inisiatif serantau, APTERR memainkan peranan penting dalam memperkukuh keterjaminan makanan semasa kecemasan serta menangani masalah kemiskinan dan kekurangan zat makanan.
Sejak perjanjian APTERR ditandatangani pada 2011, hampir 50,000 metrik tan bantuan beras diagihkan kepada lebih lima juta penduduk di Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Thailand dan Vietnam.
Sumbangan beras ini kebanyakannya datang daripada tiga negara—Jepun, China dan Korea Selatan—serta sumbangan daripada negara ASEAN, termasuk Malaysia dan Thailand.
Tahun lalu sahaja, sebanyak 5,622 tan metrik beras sumbangan Jepun, China dan Korea Selatan disalurkan bagi membantu penduduk yang terjejas akibat bencana dan kemiskinan di Laos, Myanmar dan Filipina.
Ketika ini, lebih 7,500 tan metrik stok beras APTERR yang disumbangkan oleh ketiga-tiga negara berkenaan disimpan lebih awal di Laos, Myanmar dan Filipina sebagai persediaan menghadapi bencana akan datang.
Mesyuarat APTERR yang seterusnya akan diadakan di Kemboja pada 2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial