BELANJAWAN 2025 > BERITA

PM Anwar Seru Umat Islam Perkukuh Ibadah Dan Takwa Di Bulan Ramadan

01/03/2025 06:59 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam di Malaysia untuk memperkukuh amal ibadah dan meningkatkan ketakwaan dalam menghayati keberkatan bulan Ramadan.

Anwar berkata Ramadan merupakan madrasah tarbiah ruhiyah yang mendidik, menguji serta memurnikan setiap insan dalam membentuk kekuatan dalaman umat, terutama pada saat dunia berdepan cabaran materialisme dan kehampaan ‘spiritual’ atau kerohanian.

"Cahaya Ramadan hadir sebagai penyuluh yang menerangi hati dan akal. Perjalanan kerohanian dalam Ramadan ini antara lain sebagai memaknai erti iman, takwa dan pengharapan.

“Sebagaimana sabda Rasulullah SAW, sesiapa yang mendirikan (menghidupkan) Ramadan, dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampun segala dosanya yang lalu," katanya dalam hantaran media sosial.

Anwar turut menekankan kepentingan Ramadan dalam mengangkat dimensi sosial dan kemanusiaan, menyeru masyarakat agar lebih prihatin terhadap golongan kurang bernasib baik serta mereka yang berdepan musibah di seluruh dunia.

Beliau berkata ibadah puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, sebaliknya menuntut umat Islam menundukkan keangkuhan, menolak kezaliman dan penindasan serta mengawal ketamakan.

“Ia adalah latihan ketundukan, tidak hanya kepada syariat Allah SWT tetapi kepada hakikat bahawa kita makhluk yang lemah dan Tuhan itu Maha Segala," katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mengajak umat Islam menyucikan hati daripada kebencian, mengamalkan keadilan serta meningkatkan rasa ihsan sesama insan.

"Jangan lupa untuk jauhi pembaziran dan berusaha untuk kembali kepada Allah SWT serta mohon keampunan-Nya dalam setiap sujud agar kita semua beroleh berkah dan kesejahteraan," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan