ISTANBUL, 3 Mac (Bernama-Anadolu) -- Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy pada Ahad berkata bahawa negaranya bersedia menandatangani perjanjian berkaitan mineral dengan Amerika Syarikat (AS).
“Ia menjadi dasar kami untuk meneruskan apa yang telah berlaku sebelum ini. Kami bersikap konstruktif.
“Jika kami bersetuju untuk menandatangani perjanjian mineral, kami sedia untuk menandatanganinya,” katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent memberitahu CBS News bahawa perjanjian mineral antara AS dan Ukraine tidak boleh dimeterai tanpa “perjanjian damai” dengan Rusia.
Ketika ditanya mengenai masa depan perjanjian itu, Anadolu Ajansi melaporkan bahawa Zelenskyy memberitahu pemberita di Lapangan Terbang Stansted, London bahawa perjanjian mineral itu sedia untuk ditandatangani oleh menteri berkaitan.
Beliau juga ditanya mengenai kenyataan Presiden Perancis, Emmanuel Macron berhubung kemungkinan gencatan senjata selama sebulan antara Rusia dan Ukraine.
Menurut akhbar Perancis, Le Figaro, Macron berkata beliau dan Perdana Menteri Britain Keir Starmer mencadangkan gencatan sementara “di udara dan di laut.”
Apabila ditanya sama ada beliau mengetahui mengenai cadangan itu, Zelenskyy menjawab: “Saya tahu segala-galanya.”
Mengenai sama ada beliau bersedia membincangkan sebarang konsesi wilayah atau menyatakan kekesalan kepada Presiden AS, Donald Trump susulan kejadian pertikaman lidah di Rumah Putih minggu lalu, Zelenskyy tidak memberikan jawapan secara langsung.
Sebaliknya, beliau menegaskan: “Saya hanya mahu pendirian Ukraine didengari.”
Sementara itu, Zelenskyy turut berkongsi pandangannya mengenai pertemuan dengan pemimpin dunia di London pada Ahad, sambil menzahirkan penghargaan terhadap sokongan padu yang terus diterima Ukraine.
“Kami merasakan sokongan kuat untuk Ukraine, rakyat kami, tentera dan orang awam serta kemerdekaan kami.
“Bersama-sama, kami sedang berusaha di Eropah untuk membentuk asas kukuh bagi kerjasama dengan AS dalam usaha mencapai keamanan sejati dan jaminan keselamatan,” tulisnya di platform X.
Beliau turut menekankan bahawa perpaduan Eropah berada pada tahap tinggi, sesuatu yang disifatkannya “sudah lama tidak berlaku.”
Ukraine kini mengadakan perbincangan dengan sekutunya mengenai jaminan keselamatan dan rangka kerja bagi keamanan yang adil, dengan beberapa mesyuarat serta keputusan penting dijangka dibuat tidak lama lagi.
Ketika sesi pertemuan bersama media sebelum ini, Zelenskyy ditanya sama ada Ukraine akan menerima “garis pemisah semasa” sebagai sempadan de facto baharu negaranya.
Beliau menjawab bahawa perbincangan di London pada Ahad hanya memberi tumpuan kepada langkah awal dan beliau tidak akan mendedahkan butiran sehingga terdapat persetujuan rasmi.
Zelenskyy dengan tegas menyatakan bahawa Ukraine tidak akan mengiktiraf mana-mana wilayah yang diduduki Rusia sebagai sebahagian daripada Rusia.
Beliau berharap jaminan keselamatan dapat memastikan sebarang pencerobohan Rusia pada masa hadapan “mustahil 100 peratus,” namun menegaskan bahawa beliau hanya akan membincangkan butiran setelah sekutu Ukraine menandatangani perjanjian berkaitan.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai sidang kemuncak London mengenai Ukraine dan matlamat jaminan keselamatan, Zelenskyy berkata jaminan keselamatan terbaik bagi negaranya ialah “tentera Ukraine yang kuat.”
Beliau menegaskan kepentingan sekutu Eropah mengekalkan pendirian bahawa Rusia adalah pihak yang mencetuskan konflik dan mengulangi gesaannya supaya aset Rusia yang dibekukan digunakan untuk membiayai pemulihan Ukraine.
Zelenskyy turut memberi jaminan bahawa hubungan Kyiv dengan Washington akan diteruskan, walaupun perbalahan di Pejabat Oval pada Jumaat lalu tidak membawa sebarang nilai positif kepada kerjasama itu.
Mengulas gesaan beberapa ahli politik AS agar beliau meletakkan jawatan, Zelenskyy berkata beliau hanya akan mempertimbangkan langkah itu sekiranya pengundurannya dapat memastikan keanggotaan Ukraine dalam NATO.
“Saya boleh ditukar ganti demi NATO.
“Saya pernah berkata bahawa jika saya ditukar demi keahlian NATO, itu bermakna saya telah menunaikan misi saya. (Keanggotaan) NATO bererti saya telah menyempurnakan misi saya,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa proses “menggantikannya” tidak akan mudah kerana ia bukan sekadar mengadakan pilihan raya, sebaliknya memerlukan usaha untuk menghalangnya daripada bertanding, sesuatu yang disifatkannya sebagai lebih sukar.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial