BELANJAWAN 2025 > BERITA

Tourism Perak, WWF Malaysia Meterai MoU Laksana Kempen 'Roar Of Legacy'

03/03/2025 01:43 PM

IPOH, 3 Mac (Bernama) -- Tourism Perak Management Berhad (Tourism Perak) dan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi melaksanakan kempen Roar of Legacy, iaitu inisiatif pemuliharaan Harimau Malaya, selain memperkukuhkan kesedaran ekopelancongan di negeri ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee berkata kempen itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan spesies ikonik berkenaan.

"Melalui inisiatif ini kita bukan sahaja memberi perhatian kepada usaha pemuliharaan tetapi juga bagaimana elemen pemuliharaan boleh digabungkan dengan pembangunan sektor pelancongan.

"Antara langkah yang akan diambil ialah memperkenalkan program pelancongan berasaskan pemuliharaan, mewujudkan lebih banyak aktiviti pendidikan alam sekitar dan menggalakkan amalan pelancongan bertanggungjawab dalam kalangan pelancong serta pengusaha industri," katanya ketika berucap pada majlis MoU berkenaan di sini.

Pada majlis itu, Tourism Perak diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Nurmalis Musa manakala WWF Malaysia diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Interimnya Nik Izuan Nik Mohammed dan disaksikan oleh Loh.

Loh berkata kempen berkenaan juga selari dengan hala tuju Perak Sejahtera 2030 dalam mengintegrasikan pemuliharaan ke dalam industri pelancongan bagi memastikan khazanah alam terus menjadi aset pelancongan utama.

Beliau berkata pelbagai program kesedaran dan promosi akan dilaksanakan sepanjang kempen termasuk pendedahan di platform media sosial pelancongan negeri dan aktiviti bersama komuniti setempat.

"Dengan kerjasama ini, kita berpeluang memperkukuhkan lagi daya tarikan Perak sebagai destinasi utama pelancongan lestari sekali gus menjadikan negeri ini model dalam keseimbangan antara pembangunan pelancongan dan pemuliharaan alam," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan