KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Kerajaan akan memberi lebih penekanan terhadap promosi Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang selamat, berlandaskan kestabilan politik, ekonomi, dasar pro-perniagaan serta lokasi strategiknya di Asia Tenggara, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Promosi itu akan dipertingkatkan melalui strategi pempelbagaian eksport untuk memperluaskan rangkaian produk Malaysia terutamanya ke negara-negara pasaran baharu di Asia Tengah, Timur Tengah dan Benua Afrika.
"Malaysia sebagai sebuah negara dagang secara konsisten berpegang pada prinsip tidak berpihak pada mana-mana blok ekonomi global. Kerajaan berpendirian bahawa lebih ramai rakan dagang akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.
"Pendirian berkecuali Malaysia dalam geopolitik global serta ekonomi, di samping hubungan diplomatik yang seimbang dengan pelbagai negara, memberi keyakinan kepada para pelabur asing untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi yang stabil dan selamat bagi pelaburan mereka," katanya menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Dewan Negara hari ini.
MITI menjawab soalan daripada Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkenaan pelan perancangan dan tindakan yang akan dilaksanakan kerajaan susulan dasar tarif universal serta sekatan perdagangan yang dikenakan terhadap China, Mexico dan Kanada yang akan memberi kesan langsung kepada Malaysia termasuk negara ASEAN.
Kerajaan juga akan mempelbagaikan dan meluaskan pasaran eksport produk Malaysia melalui pemeteraian Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) baharu selain meneliti potensi FTA dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan beberapa negara lagi.
"Di peringkat dua hala, kerajaan juga akan meneruskan usaha diplomasi menggunakan pendekatan keterlibatan dan perbincangan serta libat urus strategik dengan Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat dan Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat,” katanya.
"Malaysia akan terus aktif dalam dalam forum-forum pelbagai hala serta FTA serantau seperti Pertubuhan Perdagangan Dunia, Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans Pasifik,” katanya lagi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial