BELANJAWAN 2025 > BERITA

Mains Sasar Kutipan Wakaf Tunai Lebih RM8 Juta Tahun Ini

04/03/2025 05:27 PM

SEREMBAN, 4 Mac (Bernama) -- Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menyasarkan lebih RM8 juta hasil kutipan wakaf tunai tahun ini, berbanding RM5.6 juta yang diperoleh tahun lepas.

Pengerusi MAINS Datuk Seri Dr Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir berkata kutipan hasil wakaf tunai itu diperoleh menerusi potongan gaji kakitangan kerajaan dan swasta, selain masyarakat yang berwakaf melalui perbankan dalam talian, tabung wakaf dan secara tunai di kaunter daerah MAINS.

“Tahun ini insya-Allah, meningkat dengan kenaikan gaji dan sebagainya, boleh meningkat sehingga lebih RM8 juta. Itu anggaran kita, masyarakat kita ada kesedaran, mereka tengok bukan sahaja dapat faedah di dunia tapi akan berpanjangan (pahala).

“Selain potongan gaji dan wakaf orang ramai, MAINS juga ada menubuhkan unit dakwah dan pemasaran untuk beri galakan kepada orang ramai berwakaf, malah ketika khutbah Jumaat juga ada seruan kepada masyarakat supaya berwakaf,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Bulan Wakaf Negeri Sembilan yang turut dihadiri Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Dr Adnan Mat.

Abdul Aziz berkata agihan wakaf oleh MAINS merangkumi empat sektor utama iaitu pendidikan, kesihatan, sosioekonomi dan pengembangan harta, sekali gus menerusi inisiatif itu MAINS berperanan menyalurkan manfaat kepada yang memerlukan di Negeri Sembilan.

“Ia termasuk penyediaan peralatan kesihatan seperti mesin oksigen, peralatan perubatan untuk kegunaan hospital kerajaan serta swasta selain pembangunan masjid dan surau, madrasah, pusat tahfiz serta penyediaan kemudahan pendidikan seperti komputer dan penyaman udara,” katanya.

Beliau berkata MAINS pada tahun ini turut memperluaskan jaringan kerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan dan Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi menyemarakkan serta membudayakan amalan berwakaf melalui platform kutipan wakaf tunai dalam kalangan pelajar dan masyarakat di negeri berkenaan.

Sementara itu, Adnan berkata Cuepacs menyokong penuh usaha yang dilaksanakan MAINS selain menyeru orang ramai termasuk penjawat awam untuk membuat potongan gaji bagi tujuan wakaf.

“Ia sebagai tambahan dan tanda kesyukuran kerana kita baharu sahaja menikmati kenaikan gaji, lagipun memang penjawat awam telah sinonim dengan pemotongan gaji termasuk untuk zakat, cukai dan sebagainya.

“Jadi buatlah potongan gaji untuk wakaf ini sebagai potongan wajib walaupun wakaf adalah sukarela, sebagai umat yang berterima kasih kerana rezeki ditingkatkan oleh Allah dan kita kembalikan dalam bentuk sumbangan wakaf,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan