Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri penurunan selama empat hari berturut-turut untuk dibuka tinggi pada Rabu, disokong oleh pembelian semasa harga murah tertentu dalam pasaran domestik.
Prestasi itu dicatatkan Bursa Malaysia walaupun pergerakan Wall Street hambar dalam tempoh semalaman ekoran kebimbangan mengenai perang perdagangan.
Pada pukul 9.40 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 10.06 mata atau 0.65 peratus kepada 1,565.72 daripada 1,555.66 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 4.90 mata lebih tinggi kepada 1,560.56.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 401 berbanding 199, manakala 328 kaunter tidak berubah, 1,403 kaunter tidak diniagakan dan enam yang lain digantung.
Jumlah dagangan mencecah 660.41 juta saham bernilai RM328.0 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata perang perdagangan yang dicetuskan oleh Amerika Syarikat (AS) mungkin boleh memuncak kerana AS telah mengancam untuk mengenakan lebih banyak tarif ke atas Kanada.
Sementara itu, beliau berkata hasil bon 10 tahun AS meningkat sedikit kepada 4.24 peratus, kerana tarif AS mungkin menambah tekanan terhadap inflasi.
“Di Hong Kong, Indeks Hang Seng merosot di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat berikutan tarif AS yang berkuat kuasa hari ini.
"Apabila negara-negara yang terkesan mula mengenakan tarif balas, ramai yang bimbang situasi ini akan memburukkan lagi perang perdagangan global," katanya kepada Bernama.
Di dalam negara, beliau berkata FBM KLCI menyusut apabila pelabur, yang berada dalam mod mengelak risiko, melepaskan pegangan mereka berikutan keadaan yang tidak stabil ini.
"Walaupun kami tidak mengesyorkan pemburuan saham pada harga murah secara agresif, kami melihat situasi semasa sebagai peluang terbaik untuk membeli saham terpilih, terutamanya saham mewah dan saham defensif dengan hasil dividen yang lebih baik.
"Untuk hari ini, kami menjangkakan indeks akan bergerak antara 1,550 dan 1,565, dengan harapan dana asing akan segera mengutamakan Asia sebagai destinasi pilihan," katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 4.0 sen kepada RM10.64, Public Bank meningkat 6.0 sen kepada RM4.59, Tenaga Nasional naik 20 sen kepada RM13.80, IHH Healthcare bertambah 2.0 sen kepada RM7.37, manakala CIMB merosot 3.0 sen kepada RM7.97.
Bagi saham aktif, NexG naik 1.0 sen kepada 26.5 sen, Ingenieur Gudang dan Silver Ridge masing-masing menambah setengah sen kepada 3.5 sen dan 56 sen, NationGate menokok 3.0 sen kepada RM1.48, manakala Jiankun International kekal pada 4.5 sen.
Pada papan indeks, Indeks FBM Emas naik 79.12 mata kepada 11,623.99, Indeks FBMT 100 meningkat 78.69 mata kepada 11,408.84, Indeks FBM Emas Shariah menokok 82.79 mata kepada 11,246.13, Indeks FBM 70 melonjak 134.92 mata kepada 16,420.96, dan Indeks FBM ACE naik 19.28 mata kepada 4,570.65.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri meningkat 1.17 mata kepada 154.26, Indeks Tenaga menokok 2.08 mata kepada 737.08, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 77.69 mata kepada 19,336.04, dan Indeks Perladangan naik 28.57 mata kepada 7,511.58.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial