BELANJAWAN 2025 > BERITA

Torium: Malaysia Hasrat Kerjasama Dengan China, India Dalam Pembangunan Teknologi

05/03/2025 03:31 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Malaysia berhasrat untuk bekerjasama, berkongsi pengetahuan dan mendapatkan pemindahan teknologi dari China dan India dalam penggunaan torium sebagai bahan api nuklear, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Beliau berkata ketika ini, kedua-dua negara itu merupakan yang paling terkedepan dalam penggunaan teknologi berkenaan. 

Bagaimanapun, Chang berkata setakat ini penggunaan torium sebagai bahan api nuklear masih di peringkat awal dan belum ada mana-mana negara yang boleh membuktikan kematangan teknologi tersebut. 

“Saya bagi contoh di China, torium molten south reactor ini merupakan reaktor generasi keempat yang boleh dikatakan paling terkini, paling selamat, tetapi itu pun mereka baru membangunkan dan dijangka 2029 baru mereka akan mengoperasikan rektor modular kecil (SMR) tersebut,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berhubung penggunaan torium sebagai bahan api nuklear pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. 

Menjawab soalan tambahan P. Prabakaran (PH-Batu) berhubung isu sama, Chang berkata MOSTI melalui Nuklear Malaysia telah melaksanakan loji perintis pengekstrakan dan penulenan torium daripada mineral tempatan seperti monazit sebagai potensi terlibat dalam rangkaian bekalan bahan api pada masa akan datang.

Beliau berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menjalinkan kerjasama dalam kapasiti pembangunan SMR sejak 2024 contohnya, menerusi program di bawah kerajaan Amerika Syarikat- Infrastruktur Asas untuk Penggunaan Bertanggungjawab Teknologi Reaktor Modular Kecil (FIRST).

Chang berkata program FIRST menyokong negara yang berminat meneroka potensi SMR dan teknologi nuklear termaju, dengan memastikan penggunaan teknologi nuklear memenuhi piawaian keselamatan tertinggi dengan sokongan Statut Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Menjawab soalan asal Prabakaran berhubung kerjasama nuklear dengan negara lain, beliau berkata Malaysia menyokong dan memainkan peranan aktif dalam pembangunan dan penggunaan sains dan teknologi nuklear secara aman, sama ada di peringkat antarabangsa atau kebangsaan.

Beliau berkata Malaysia juga menyertai kerjasama pelbagai hala organisasi antarabangsa (IO) semenjak negara menandatangani IAEA pada 15 Jan 1969.

“MOSTI melalui Nuklear Malaysia juga telah menjadi ahli ‘Projek Antarabangsa mengenai Reaktor Nuklear dan Kitaran Bahan Api’ (INPRO) di bawah rangka kerjasama IAEA sejak tahun 2012, dengan terdapat 47 ahli INPRO yang terdiri daripada pelbagai negara termasuklah Jepun dan Perancis,” katanya.

Chang berkata melalui penglibatan aktif Malaysia dalam INPRO, Malaysia dan ahli INPRO yang lain terlibat dalam projek dan perancangan jangka panjang serta kerjasama mengenai inovasi dalam reaktor, kitaran bahan api dan pendekatan institusi yang menggalakkan pembangunan mampan tenaga nuklear. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan