BELANJAWAN 2025 > BERITA

Masters Orleans: Zii Jia Mara Ke Pusingan Kedua

05/03/2025 11:11 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia menepati ramalan melangkah ke pusingan kedua Masters Orleans selepas menumpaskan wakil Taiwan, Chi Yu Jen, di pusingan pertama hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Palais des Sports, Zii Jia yang turun pada perlawanan pertamanya musim ini, bagaimanapun terpaksa bermandi peluh sebelum memenangi aksi tersebut yang berlanjutan hingga ke set penentuan 17-21, 21-17, 21-17.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 dijadualkan bertemu pemain India, Srikanth Kidambi bagi merebut slot ke suku akhir.

Turut mara ke pusingan kedua adalah beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang berjaya menundukkan gandingan Jerman, Jonas Ralfy Jansen-Thuc Phuong Nguyen 21-15, 21-17.

Pilihan keenam kejohanan itu akan bertemu sama ada wakil Taiwan, Lu Ming Che-Hung En Tzu atau pasangan Kanada, Ty Alexander Lindeman-Josephine Wu yang akan beraksi lewat malam ini.

Terdahulu, pasangan beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mara ke pusingan kedua selepas tidak berdepan masalah untuk menang ke atas wakil India, Ashith Surya-Amrutha Pramutesh 21-10, 21-15.

Tang Jie-Ee Wei dijadualkan berentap menentang wakil Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Gloria Emanuelle Widjaja, yang mara selepas menumpaskan wakil Korea Selatan Jeung Na Eun-Ki Dong Ju 17-21, 22-20, 21-14.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi dua pasangan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun apabila tersingkir di pusingan pertama hari ini selepas tewas kepada lawan masing-masing.

Aaron-Wooi Yik terpaksa akur tumpas dalam straight set kepada wakil China, Sun Wen Jun -Zhu Yi Jun 18-21, 8-21, manakala Wei Chong-Kai Wun tumbang di tangan pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Sung Jae, 16-21, 14-21.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan