BELANJAWAN 2025 > BERITA

734 Tan Metrik Kelapa Tua Dibawa Masuk Setakat 4 Mac - Mohamad

06/03/2025 01:39 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan FAMA Corporation Sdn Bhd (FAMACO) membawa masuk 734 tan metrik bekalan kelapa tua dikupas dari Sabah dan Indonesia dengan nilai belian RM2.01 juta, setakat 4 Mac lepas.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada tindakan intervensi jangka pendek kementerian dalam menangani isu lonjakan harga produk berasaskan kelapa, terutama santan.

Beliau berkata bekalan kelapa tua itu diedarkan oleh 42 Pusat Operasi FAMA ke pasaran melalui 509 outlet pemasaran FAMA seperti Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR), Agrobazaar Rakyat (ABR), pasar tani dan pasar tani kekal.

“Sebahagian bekalan turut diagihkan kepada 16 pemborong dan 202 usahawan santan di seluruh negara. Langkah ini akan membantu menstabilkan harga dan memastikan kelangsungan bekalan kepada industri pemprosesan santan dan produk berasaskan kelapa lain,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) mengenai perancangan jangka pendek, pertengahan dan panjang kementerian untuk menangani lonjakan harga produk berasaskan kelapa akibat kekurangan bekalan kelapa tempatan dan kenaikan harga kelapa import dari Indonesia serta faktor cuaca.

Selain itu, Mohamad berkata bagi tindakan intervensi jangka sederhana, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Jabatan Pertanian melaksanakan Program Pembangunan Industri Kelapa (2021-2025) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan menyediakan insentif kepada petani untuk meningkatkan pengeluaran kelapa tempatan.

Beliau berkata usaha itu meliputi tanaman semula atau baharu dengan menggantikan pokok kelapa tua atau tidak produktif serta pemulihan pokok kelapa bagi meningkatkan produktiviti.

“Petani juga diberikan bantuan dalam bentuk input pertanian seperti anak benih, baja, racun perosak serta infrastruktur asas ladang termasuk penyediaan kawasan, perparitan dan peralatan kecil ladang,” katanya.

Bagi tindakan intervensi jangka panjang, Mohamad memaklumkan KPKM sentiasa menggalakkan petani menanam varieti kelapa berhasil tinggi seperti kelapa matag, Malayan Red Dwarf (MRD), Malayan Yellow Dwarf (MYD) dan kelapa pandan.

“Sejak 2021 hingga 2024, RM15 juta diperuntukkan untuk pembangunan industri kelapa, melibatkan 943 petani dengan kawasan penanaman semula atau baharu seluas 1,890.7 hektar dan pemulihan kebun kelapa seluas 285 hektar.

“Sebanyak 1.2 juta anak benih kelapa berhasil tinggi dikeluarkan bagi menyokong projek pembangunan kelapa negara,” katanya.

Beliau juga memaklumkan pada 2024, Jabatan Pertanian menerima peruntukan RM3 juta melalui Projek Pengukuhan Pengeluaran Benih Kelapa, yang berjaya menghasilkan 524,606 anak benih kelapa hasil kerjasama erat antara agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan