BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia Tegas Menentang Usaha Pemindahan Paksa Rakyat Palestin Di Sesi Tergempar OIC

06/03/2025 03:31 PM

PUTRAJAYA, 6 Mac (Bernama) -- Malaysia akan menegaskan tentangannya terhadap sebarang cadangan pengilhakan Gaza atau usaha memindahkan rakyat Palestin ke Mesir dan Jordan secara paksa semasa Sesi Tergempar Majlis Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan pendirian itu akan dibangkitkan oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan yang dijadual menghadiri mesyuarat itu di Jeddah, Arab Saudi pada 7 Mac.

Sesi itu akan membincangkan perkembangan gencatan senjata di Gaza serta kegusaran berhubung cadangan pengilhakan Gaza yang akan mengakibatkan pemindahan secara paksa rakyat Palestin daripada tanah air mereka. 

Selain itu, Mohamad juga akan menzahirkan komitmen penuh Malaysia dalam membantu usaha pembinaan semula dan pemulihan Gaza, termasuk dengan mengadakan kerjasama pertubuhan-pertubuhan antarabangsa dan inisiatif serantau.

"Penyertaan Menteri Luar ke Sesi Tergempar ini menggariskan komitmen teguh Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin dalam mewujudkan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya," menurut kenyataan kementerian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan