Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.0 peratus mencerminkan penyesuaian strategik dasar monetari yang memberikan fleksibiliti kepada bank pusat itu menghadapi perubahan keadaan ekonomi global dan domestik.
Bank Negara mengekalkan OPR pada tiga peratus selama 11 mesyuarat berturut-turut sejak Mei 2023.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata risiko luaran, termasuk ketegangan geopolitik dan dasar perdagangan global yang tidak menentu membawa kepada peningkatan ketidaktentuan pasaran.
Keadaan ini, menjadikan kebolehjangkaan kadar faedah penting untuk mengekalkan keyakinan pelabur dan kestabilan kadar pertukaran, katanya.
“Memandangkan penyesuaian OPR terakhir adalah pada Mei 2023, mengekalkan kadar semasa membolehkan BNM membuat keputusan dengan pantas terhadap sebarang perubahan ketara dalam trend inflasi atau momentum pertumbuhan.
"Dengan cabaran luaran yang berpunca daripada ketegangan perdagangan antara AS dan ekonomi utama seperti China, kadar OPR yang tidak berubah membolehkan penyesuaian dasar terdahulu diteruskan sambil memastikan jangkaan inflasi kekal terkawal tanpa memperkenalkan pengetatan kewangan yang berlebihan," katanya kepada Bernama.
Mohd Sedek menekankan bahawa pendirian berwaspada ini memberi penekanan untuk mengekalkan kestabilan kewangan sambil membolehkan langkah pengetatan terdahulu terus memberi kesan dalam ekonomi.
“Kami melihat persekitaran kadar faedah yang stabil menyokong pengembangan ekonomi dengan memberikan perniagaan dan pengguna hala tuju yang lebih pasti dalam perancangan kewangan dan kebolehcapaian kredit,” katanya.
Sementara itu, keputusan BNM untuk mengekalkan kadar OPR juga dilihat sejajar dengan jangkaan pasaran.
Sebelum ini MIDF Amanah Investment Bank Bhd berkata OPR akan kekal pada 3.00 peratus sepanjang 2025, berdasarkan ketiadaan tekanan inflasi, yang didorong oleh permintaan ketara dan penilaiannya bahawa kadar semasa menyokong trajektori pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Sementara itu, CIMB Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikan berkata keputusan untuk mengekalkan OPR pada 3.0 peratus adalah dijangkakan, memandangkan data keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku keempat 2024 yang dipinda mengesahkan momentum pertumbuhan yang kukuh pada 5.0 peratus tahun ke tahun, dan inflasi kekal rendah pada 1.7 peratus tahun ke tahun pada Januari 2025.
“Secara keseluruhan, dasar monetari kekal neutral, menyokong pandangan kami bahawa kadar OPR semasa akan berlanjutan sepanjang 2025. Ini berbeza dengan Thailand dan Indonesia, apabila kebimbangan terhadap permintaan domestik mencetuskan pemotongan kadar dasar yang mengejutkan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial