BELANJAWAN 2025 > BERITA

KPDN Perak Pertingkat Pemantauan Sepanjang Op Pantau 2025

06/03/2025 08:51 PM

IPOH, 6 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak akan mempertingkatkan pemantauan lebih ketat dan bersasar, susulan Perak mencatatkan jumlah kesalahan tertinggi iaitu 11 kes dalam Op Pantau 2025, yang bermula 2 Mac.

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata pemantauan itu akan terarah kepada bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar raya, serta kedai runcit yang menjalankan perniagaan melibatkan barangan keperluan harian.

“Melalui Op Pantau yang bermula 2 Mac sehingga semalam, kita telah jalankan sebanyak 1,051 pemeriksaan di premis perniagaan seluruh negeri dan sebanyak 11 kesalahan telah dikesan melibatkan tanda harga, alat timbang sukat yang tamat tempoh serta penjualan barangan tiruan.

“Bagi memastikan perkara tersebut tidak berulang, seramai 195 penguat kuasa dan 75 pegawai pemantau harga telah digerakkan, bagi menjalankan pemeriksaan dilokasi di seluruh negeri,” katanya pada media di Sesi Walkabout Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Taman Cempaka, di sini, hari ini.

Pada 4 Mac, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Dr Fuziah Salleh memaklumkan, Perak mencatatkan jumlah kes tertinggi dalam pelaksanaan Op Pantau 2025, diikuti Selangor dengan empat kes, Sabah tiga kes manakala Johor dan Kelantan masing-masing mencatatkan dua kes.

Sementara itu, Kamalludin berkata terdapat sebanyak 10 lokasi BRR di seluruh Perak pada tahun ini yang menawarkan pelbagai pilihan juadah berbuka dengan harga berpatutan kepada semua golongan.

“Setiap lokasi ini akan dilaksanakan sebanyak 8 kali BRR sepanjang Ramadan dan dijangka seramai 52,000 pengunjung berpeluang menerima insentif melalui Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDi).

“Melalui ReDi, setiap pengunjung bazar akan dapat menikmati RM20 yang akan dikreditkan ke dalam e-dompet Touch n Go (TNG). Selain itu, peniaga yang menawarkan menu Rahmah juga akan diberikan insentif RM100 secara one-off,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata para pengguna juga disarankan untuk melayari laman rasmi serta media sosial KPDN di facebook dan TikTok, bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung BRR serta pemberian e-dompet.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan