PUTRAJAYA, 6 Mac (Bernama) -- Kumpulan Rangkaian Restoran Antarabangsa D'Tandoor (D'Tandoor) dan Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) hari ini mengumumkan kerjasama jangka panjang dalam usaha kemanusiaan mereka, yang memfokuskan sokongan kepada Gaza melalui Tabung Kemanusiaan Gaza.
Kerjasama itu bertujuan meringankan penderitaan rakyat Gaza dengan menyediakan bantuan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas.
Pengerusi Kumpulan D'Tandoor Datuk Seri Abdul Malik Abdullah berkata sebanyak RM1 juta sasaran sumbangan telah ditetapkan di bawah inisiatif itu untuk memenuhi keperluan mendesak di Gaza, selain kerjasama dalam Dapur Ihsan yang menyampaikan makanan kepada penduduk Gaza.
"Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, bantuan makanan akan menggunakan teknologi retort yang menawarkan kelebihan besar dalam logistik dan pengedaran.
"Teknologi ini membolehkan makanan sedia dimakan bertahan selama dua tahun dalam suhu bilik tanpa pengawet dan memastikan bekalan makanan yang dihantar kepada mereka segar dan berkhasiat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar anjuran D'Tandoor, MAHAR dan Yayasan Kaseh Kanser & Kronik (YKKK) di sini hari ini.
Lebih 170 individu termasuk pesakit kronik dan kanser diraikan dalam majlis berkenaan yang turut dihadiri Penasihat MAHAR Nurul Izzah Anwar.
Sementara itu, Nurul Izzah berkata inisiatif seperti Tabung Kemanusiaan Gaza dan Program Dapur Ihsan adalah bukti komitmen dalam meringankan penderitaan mereka yang memerlukan, bukan sahaja di tanah air tetapi juga di peringkat antarabangsa.
"Sasaran sumbangan untuk membantu rakyat Gaza adalah satu usaha yang mulia dan menunjukkan betapa besarnya hati masyarakat kita dalam membantu sesama insan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial