BELANJAWAN 2025 > BERITA

Presiden Indonesia Bertemu Tokoh Perniagaan Terkemuka Untuk Bincang Ekonomi Negara

07/03/2025 10:04 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 7 Mac (Bernama) -- Presiden Indonesia Prabowo Subianto menerima kunjungan lapan tokoh perniagaan terkemuka di Istana Presiden di Jakarta pada petang Khamis untuk perbincangan strategik mengenai ekonomi negara dan program utama kerajaan yang sedang berjalan.

Usahawan yang hadir mewakili pelbagai industri, termasuk tokoh terkenal seperti Anthony Salim, Sugianto Kusuma, Prajogo Pangestu, Boy Thohir, Franky Widjaja, Datuk Seri Tahir, James Riady, dan Tomy Winata. Perniagaan mereka merangkumi sektor seperti makanan, hartanah, tenaga, kewangan dan pembuatan.

Biro Akhbar Sekretariat Presiden dalam kenyataan memaklumkan pertemuan itu berlangsung dalam "suasana mesra dan produktif," dengan perbincangan meliputi beberapa bidang kritikal, termasuk dasar utama kerajaan untuk menyediakan makanan berkhasiat percuma, pembangunan infrastruktur, pengukuhan industri tekstil serta usaha mencapai sara diri dalam sektor makanan dan tenaga.

Perindustrian dan pengurusan pelaburan, khususnya melalui Agensi Pengurusan Pelaburan Danantara, turut menjadi antara topik utama perbincangan.

Prabowo turut merakamkan penghargaan terhadap peranan komuniti perniagaan dalam menyokong dasar kerajaan, terutamanya yang memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat.

“Pertemuan ini mencerminkan usaha kerajaan untuk membina komunikasi erat dengan komuniti perniagaan bagi memastikan kestabilan ekonomi negara serta menarik pelaburan yang dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan daya saing industri domestik,” menurut kenyataan itu.

Turut hadir dalam pertemuan itu Menteri Sekretariat Negara Prasetyo Hadi dan Setiausaha Kabinet Teddy Indra Wijaya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan