BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pavilion Bukit Jalil Lancar Sambutan Raya ‘Kemeriahan Bersama’ Dengan BoBoiBoy

07/03/2025 11:26 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Pavilion Bukit Jalil telah melancarkan sambutan hari raya 'Kemeriahan Bersama', yang menggabungkan elemen nostalgia dengan penceritaan moden untuk mencipta pengalaman membeli-belah dan budaya yang mengasyikkan.

Pengarah Pemasaran Pavilion Kung Suan Ai melancarkan sambutan berkenaan, yang menekankan semangat perpaduan dan kegembiraan.

“Tahun ini sambutan berkisar kebersamaan dan mencipta pengalaman yang mengujakan. Sehubungan itu, kami telah melancarkan 'Kemeriahan Bersama' dengan kerjasama BoBoiBoy, satu daripada adi wira paling disukai di Malaysia," katanya.

Kung berkata lebih daripada sekadar watak, BoBoiBoy melambangkan perpaduan, persahabatan dan keberanian, yang merupakan nilai-nilai seiring dengan semangat sambutan itu.

Sempena sambutan berkenaan, ‘centre court’ Pavilion Bukit Jalil telah diubah menjadi ruang yang penuh meriah dengan menampilkan hiasan tradisional, gerai barangan perayaan dan persembahan kebudayaan.

 Tarikan utama ialah Kokotiam BoBoiBoy, yang memberi peluang kepada pengunjung menyertai sesi temu mesra interaktif dan menyaksikan persembahan pentas.

Selain itu, pengunjung juga boleh menikmati pelbagai aktiviti penuh keseronokan sepanjang Ramadan.

Bagi pembeli muda dan peminat permainan kad dagangan, Pavilion Bukit Jalil akan menganjurkan Kejohanan MONSTA GALAXY CARD pertama di Malaysia pada 15 hingga 16 Mac serta 22 hingga 23 Mac, yang mengajak peserta untuk bersaing dalam pertempuran kad dengan tema khas raya.

Sementara itu, keluarga boleh menyertai Bengkel Hiasan Biskut Hari Raya oleh Good Times DIY pada 8 dan 9 Mac, dengan mereka boleh menghias kuih raya sendiri, sambil menikmati persembahan tradisional mingguan seperti persembahan ghazal dan Orkes Melayu.

Selain perayaan, Pavilion Bukit Jalil juga menghayati semangat Kemeriahan Bersama dengan memberi sumbangan kepada komuniti melalui pelbagai inisiatif amal.

"Kami berkongsi kegembiraan BoBoiBoy bukan sahaja dengan pembeli, tetapi juga kanak-kanak kurang bernasib baik. Hari ini, kami menyantuni kira-kira 100 kanak-kanak dari Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Nur Hidayah, yang teruja dapat bertemu adi wira mereka dan menerima ‘goodies bag’ dan duit raya,” katanya.

Kung berkata Pavilion Bukit Jalil turut memberi ganjaran kepada pembeli dengan penebusan eksklusif perayaan.

Beliau berkata mereka yang berbelanja RM150 ke atas boleh menebus sampul raya eksklusif yang ditampilkan menerusi dua reka bentuk, manakala berbelanja RM400 atau lebih akan menerima set alat tulis BoBoiBoy.

Mereka yang berbelanja RM800 atau lebih pula, katanya akan menerima set kotak makanan tengah hari BoBoiBoy, sampul Raya serta termos eksklusif.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan