BELANJAWAN 2025 > BERITA

PDB Akan Jawab Notis Tunjuk Sebab Bursa Dengan Prospek Pertumbuhan Kukuh

10/03/2025 01:26 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Pertama Digital Bhd (PDB) mencatatkan kemajuan ketara dalam beberapa bulan kebelakangan ini, daripada memperoleh pembiayaan utama sehingga melaksanakan pembelian strategik dan kerjasama yang mendorongnya untuk pertumbuhan jangka masa panjang.

Susulan itu, syarikat tersebut akan mengemukakan maklum balas terhadap notis tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh Bursa Malaysia Bhd (Bursa Securities) berkaitan pelan penyusunan semula dalam beberapa hari akan datang.

“PDB telah mencatatkan  kemajuan yang baik dalam inisiatif penstrukturan semula, dan ada perkembangan ketara sejak dua hingga tiga bulan lepas yang telah memperkukuh kekuatan, kestabilan dan hala tuju strategik syarikat,” menurutnya dalam kenyataan pada Isnin.

Oleh itu, bakal Ketua Pegawai Esekutif Kumpulan Lim Nasrul Halim menyatakan keyakinan bahawa  semua kemajuan itu akan menyokong rayuan syarikat, membuktikan komitmen terhadap pematuhan kawal selia, kecemerlangan operasi dan penciptaan nilai bagi pemegang saham.

Mengulas mengenai perancangan syarikat, PDB menjelaskan pihaknya bersedia untuk memuktamadkan pembelian ke atas syarikat teknologi terkemuka yang berpangkalan di Singapura dalam beberapa minggu akan datang.

Langkah itu akan meningkatkan keupayaan syarikat dalam pemantauan dan penyelesaian keselamatan untuk memenuhi keperluan infrastruktur penting dalam landskap digital Malaysia yang berkembang pesat, tambah PDB.

“Pada masa sama, PDB telah memperoleh pusingan pembiayaan utama berjumlah RM150 juta, diterajui MyPay Capital Sdn Bhd, sekali gus mengukuhkan daya tahan kewangannya dan membolehkan syarikat melaksanakan inisiatif strategik dengan yakin dan stabil.

“Semua pencapaian ini mencerminkan komitmen teguh syarikat terhadap inovasi, perkongsian dan pemerkasaan digital di samping terus mengembangkan rangkaian penyelesaian digital dan menjalinkan kerjasama kukuh untuk mempercepat evolusi digital Malaysia,” menurutnya.

Menurut kenyataan itu, PDB telah membina produknya sendiri susulan kejayaan operasi eJamin selama enam tahun, yang telah memproses transaksi kewangan bernilai lebih RM1 bilion.

“Bergantung pada eJamin, PDB kini di peringkat akhir untuk melancarkan perkhidmatan perbankan neo, dengan kerjasama rakan perbankan tempatan yang menyediakan perbankan sebagai satu perkhidmatan dalam produk seperti ‘BizKecil’, memperkasakan peniaga kecil.

“Satu lagi dipanggil ‘Kocek’, yang direka untuk membolehkan pelajar sekolah terutama di kawasan kurang mendapat perkhidmatan, mempelajari literasi kewangan dalam satu lagi program tabungan yang menarik dengan rakan perbankan lain,” jelasnya.

PDB menjelaskan pihaknya juga telah memperoleh kerjasama eksklusif dengan peneraju global dalam platform komunikasi sebagai satu perkhidmatan untuk sektor awam, meningkatkan keupayaan sektor awam negara dengan ketara untuk libat urus rakyat melalui komunikasi yang lancar, selamat dan masa sebenar.

Kerjasama itu akan menawarkan keupayaan bertaraf dunia kepada Malaysia, dengan memanfaatkan teknologi sama yang memperkasakan perkhidmatan misi penting untuk TikTok dan Uber, memastikan rangka kerja komunikasi yang berdaya tahan dan boleh skala untuk perkhidmatan awam negara.

Pengaturan eksklusif itu akan memperkukuh jangkauan strategiknya, menepati sebagai sebuah syarikat global dengan kehadiran di 120 negara di seluruh dunia, tambahnya.

“Asas yang kami bina memastikan kami bukan sahaja teguh dari segi kewangan dan berdaya tahan malah juga berada pada kedudukan yang baik untuk terus melaksanakan visi kami,” kata Lim Nasrul.

PDB memberi jaminan kepada kalangan pemegang saham, rakan kongsi dan pekerjanya bahawa operasi perniagaan kekal tidak terganggu, dan semua projek serta inisiatif sedang dilaksanakan seperti yang dirancang.

Pada Jumaat lepas, penyedia penyelesaian digital itu menjelaskan pihaknya menerima notis tunjuk sebab daripada Bursa Securities mengenai kegagalan menyerahkan pelan penyusunan semula dalam tempoh yang ditetapkan pada 9 Feb, 2025.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, PDB memaklumkan pihak kawal selia bursa mengeluarkan notis itu selepas menolak permohonan yang dibuat pihaknya pada bulan lepas untuk lanjutan tempoh sehingga 9 Feb 2026, bagi menyerahkan pelan penyusunan semula itu.

Syarikat itu telah diberikan notis supaya membuat representasi bertulis yang disokong oleh bukti berdokumen kepada Bursa Securities dalam tempoh lima hari pasaran dari tarikh notis, atau sebelum 14 Mac, 2025, mengenai sebab penggantungan tidak perlu dikenakan ke atas syarikat dan sebab tidak sepatutnya nyahsenarai daripada Senarai Rasmi Bursa Securities.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan