BELANJAWAN 2025 > BERITA

MTD Properties Perkukuh Jenama Dengan Lima Projek Baharu Tahun Ini

10/03/2025 02:36 PM

Oleh Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

KAJANG, 10 Mac (Bernama) -- MTD Properties terus memperkukuh jenamanya dalam industri hartanah dengan memperkenalkan lima projek baharu di Selangor dan Melaka tahun ini, yang bakal memanfaatkan komuniti sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.

Ketua Pegawai Operasi MTD Properties Dr Nik Fauzan Nik Faizul berkata memandangkan permintaan yang tinggi daripada pelanggan, pihaknya komited memulakan lebih banyak projek baharu berbanding hanya dua projek pada tahun lepas.

“Pada tahun lepas, kita telah lancar (projek) Fasa 8 di Kajang iaitu projek komersial sebanyak 70 unit dan projek ini mencapai kejayaan besar apabila semua unit habis dijual dalam tempoh yang sangat singkat.

“Pelanggan melihat MTD Properties sebagai pemaju yang sentiasa komited. Melalui (projek) komersial itu, ia meningkatkan lagi ekonomi penduduk setempat,” katanya kepada Bernama pada program Kasih Ramadan bersama MTD Properties di sini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTD Reime Rizal Abdul Aziz.

Beliau berkata sejak penubuhannya, MTD Properties telah memastikan bahawa setiap kawasan pembangunan yang diusahakannya memiliki nilai tambah yang berterusan untuk menarik pelanggan. 

Katanya MTD Properties juga bakal melancarkan projek bagi Fasa 10 Taman Sutera Kajang yang akan menggabungkan unit projek Rumah SelangorKu (RSKU) dan unit terbuka. 

“Dengan ini, MTD Properties berharap dapat membantu rakyat memiliki rumah mampu milik tanpa mengorbankan kemudahan dan kualiti.

"Projek kami bukan hanya fokus kepada keuntungan tetapi juga memberi sumbangan kepada rakyat dengan menyediakan rumah yang berkualiti tinggi dan mampu milik," katanya.

Nik Fauzan berkata MTD Properties amat menitikberatkan kualiti pembinaannya dengan setiap projek menggunakan bahan berkualiti tinggi bagi mencapai mutu yang ditetapkan.

Mengenai program Kasih Ramadan, Reime Rizal berkata ia merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) MTD properties untuk masyarakat. 

“Kita mahu beri semula kepada komuniti. RSKU juga merupakan salah satu CSR daripada MTD Properties,” katanya.

Pada majlis itu, MTD Properties menyumbang RM5,000 kepada Masjid Taman Sutera, Kajang serta sumbangan duit raya kepada kanak-kanak. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan