BELANJAWAN 2025 > BERITA

KMI Healthcare, BSHSB Meterai Perjanjian Bagi Bina, Pajak Hospital 100 Katil Di Pulau Pinang

10/03/2025 04:04 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare), anak syarikat TDM Bhd memeterai perjanjian bina dan pajak dengan Bertam Specialist Hospital Sdn Bhd (BSHSB) bagi membangunkan hospital berkapasiti 100 katil di Bertam, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.

Pembinaan hospital dengan kos pembangunan kasar kira-kira RM146 juta, akan dibina di atas tapak seluas 0.85 hektar, kira-kira 10 minit perjalanan dari susur keluar tol Kepala Batas.

Ketua Pegawai Eksekutif KMI Healthcare Dr Rayney Azmi Ali berkata syarikat akan memajak kemudahan itu daripada BSHSB bagi tempoh awal 18 tahun, dengan pilihan lanjutan selama 12 tahun lagi.

“Bertam merupakan pilihan strategik, dengan populasi 117,043 penduduk.

“Ketika ini, satu-satu pusat penjagaan kesihatan di kawasan itu hanyalah hospital kerajaan, menyebabkan KMI Healthcare mempunyai kelebihan untuk mengisi jurang tersebut,” katanya pada majlis memeterai perjanjian hari ini.

Beliau turut menekankan status Pulau Pinang yang semakin meningkat sebagai destinasi utama bagi pelancongan perubatan, terutama bagi pesakit dari Indonesia, sebagai salah satu daripada faktor utama. 

“Dengan Pulau Pinang yang semakin sesak, kami menyediakan pilihan kepada pesakit kepada akses perkhidmatan perubatan di tanah besar

“Berbekalkan infrastruktur penjagaan kesihatan terkini, harga mampu milik dan pelbagai kemudahan, kami berada pada kedudukan terbaik untuk memanfaatkan pasaran yang semakin berkembang dan menawarkan perkhidmatan perubatan bertaraf dunia kepada pesakit antarabangsa,” katanya.

Pengarah Urusan BSHSB Datuk Seri A K Teng berkata lokasi strategik hospital itu dan infrastruktur modennya, akan menjadi penanda aras baharu kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan di rantau ini.

“Dengan menggabungkan sumber, kepakaran dan komitmen kami, kami meletakkan asas kepada projek yang akan memberi nilai berterusan kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, hospital tersebut akan dilengkapi kemudahan pembedahan dan perubatan terkini, termasuk pusat kecemerlangan, perkhidmatan diagnostik dan unit penjagaan berfokuskan pesakit.

Pembinaan dijangka bermula tahun ini dan dijangka siap pada 2028.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan