BELANJAWAN 2025 > BERITA

Akta PSB: Tiada Pengusiran Paksa Kepada Pemilik Rumah, Tanah - PMO

10/03/2025 06:22 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penggubalan Akta Pembaharuan Semula Bandar yang akan dibawa ke Parlimen tidak memaksa mana-mana pemilik rumah atau tanah untuk diusir.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata undang-undang itu juga tidak akan mengubah peratusan pemilikan Bumiputera di sesuatu kawasan atau mengubah komposisi etnik di sesuatu lokasi.

"Justeru, tidak timbul isu Melayu Bumiputera dipinggirkan daripada arus kemajuan bandar kerana matlamat utama untuk memastikan peningkatan kualiti hidup masyarakat bandar sekali gus meningkatkan kualiti hidup masyarakat Melayu itu sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia, hari ini.

Penjelasan itu bagi menepis dakwaan sesetengah pihak yang masih memainkan isu Akta Pembaharuan Semula Bandar. 

Tunku Nashrul berkata Perdana Menteri juga memanjangkan jemputan kepada masyarakat sekitar Putrajaya khususnya, untuk hadir ke Majlis Berbuka Puasa Bersama Ilmuan Agama di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya hari ini.

Beliau turut mengulangi peringatan Perdana Menteri agar setiap rakyat tidak mudah terpengaruh dengan sebarang kenyataan fitnah yang tidak ada asas sama sekali. 

Mengambil contoh hantaran terbaru di laman sosial oleh individu berhubung fitnah usang dan jahat yang bertujuan menimbulkan kegusaran awam mengenai azan.

Menurutnya, naratif seperti ini akan muncul setiap kali tiba musim pilihan raya dan budaya seperti itu perlu dinoktahkan segera bagi mengelak kesan buruk kepada masyarakat dan negara.

Selain itu katanya, masyarakat digesa tidak terus terperdaya dengan fitnah begitu dan diminta mengangkat budaya berfikir dan menolak sebarang kegiatan yang memecah belah umat.

Selain memberi penjelasan terkait peruntukan kepada Ahli Parlimen Pembangkang, Tunku Nashrul berkata Perdana Menteri hari ini juga memberi perhatian khusus kepada situasi banjir di Sabah dan Sarawak.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah diminta memperkemas penyelarasan seluruh kekuatan jentera agensi Persekutuan dan Negeri bagi memberi bantuan berterusan kepada rakyat terkesan.

NADMA juga diminta bekerjasama rapat dengan pihak kerajaan negeri bagi memudahkan penyaluran bantuan kepada Ketua Isi Rumah mangsa banjir, katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan