BELANJAWAN 2025 > BERITA

Program Berteraskan Teknologi Bakal Perkasa Sektor Pertanian Di Bentong

10/03/2025 08:01 PM

BENTONG, 10 Mac (Bernama) -- Sektor pertanian di Bentong, Pahang yang terkenal dengan hasil pertanian seperti durian dan halia bakal diperkasakan melalui beberapa program berteraskan teknologi  bagi menambah baik kecekapan operasi dan meningkatkan lagi hasil tanaman.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata program itu diharap dapat diperkenalkan dalam masa terdekat dan akan dilaksanakan Kementerian Digital dengan kerjasama Digital Nasional Berhad (DNB) dan Pejabat Ahli Parlimen Bentong.

Beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti produk yang kini di peringkat Pembuktian Konsep (PoC) bagi membantu pemain industri menggunakan teknologi dalam sektor pertanian.

“Contohnya, untuk program penanaman dan sebagainya, kita akan panggil kesemua yang terlibat dalam industri atau bidang berkenaan.

“Kita akan memberikan maklumat mengenai teknologi itu serta bagaimana mereka boleh mendapatkan akses kepada teknologi berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan “Majlis Jelajah Digital:5G Enabled Agritech’ di Dewan Majlis Perbandaran Bentong hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif DNB Datuk Azman Ismail. 

Terdahulu ketika berucap, Gobind memaklumkan bahawa liputan rangkaian 5G di Pahang telah mencecah 66.4 peratus liputan kawasan berpenduduk (CoPA) manakala Bentong mencapai 72.3 peratus setakat Januari 2025.

Gobind berkata Pahang juga berada dalam kedudukan yang tepat untuk mengambil kesempatan daripada perubahan dalam pasaran automotif sekali gus membawa kemakmuran ekonomi kepada rakyat Pahang.

“Saya percaya negeri ini mampu mencapai matlamatnya untuk menjadi hab pemasangan dan pembuatan kenderaan elektrik (EV) di Pantai Timur,” katanya. 

Selain itu, beliau berkata pihak berkuasa telah memilih Bentong sebagai daerah perintis untuk membina stesen pengecasan pertama di Pahang, daripada 50 stesen yang dirancang di seluruh negeri.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan