BELANJAWAN 2025 > BERITA

Perkhidmatan KTMB Terjejas Di Beberapa Laluan Akibat Pokok Tumbang

12/03/2025 11:30 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Operasi perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengalami gangguan akibat pokok tumbang di KM386.50, di antara Stesen Kuala Lumpur – Putra pada 4.01 petang tadi menyebabkan alat talian atas (overhead line) terbingkas.

KTMB dalam kenyataan memaklumkan kejadian itu telah menyebabkan perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Komuter Lembah Klang laluan Pelabuhan Klang – Tanjung Malim – Pelabuhan Klang, serta Batu Caves – Pulau Sebang – Batu Caves mengalami gangguan perkhidmatan dan kelewatan daripada jadual asal antara 60 minit ke 120 minit dengan penggunaan satu landasan sahaja.

Selain itu, bagi penumpang perkhidmatan tren ETS yang mengalami kelewatan melebihi dua jam, mereka boleh mendapatkan pemulangan tambang sekiranya tidak meneruskan perjalanan dengan tren. 

“Kerja-kerja baik pulih sedang giat dijalankan oleh kakitangan kumpulan teknikal KTMB bagi memastikan operasi tren kembali seperti biasa,” menurut kenyataan itu.

Sepanjang gangguan perkhidmatan ini, KTMB turut menempatkan petugas di stesen dan anggota Polis Bantuan untuk membantu melancarkan pergerakan penumpang terjejas.

KTMB memohon maaf kepada semua pengguna yang terjejas dan mereka juga boleh mendapatkan info semasa melalui media sosial rasmi KTMB serta menerusi kakitangan KTMB yang bertugas di stesen, dan menghubungi Pusat Panggilan KTMB 03-9779 1200 atau layari media sosial rasmi KTMB.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan