BELANJAWAN 2025 > BERITA

Air Asia Diharap Mempertimbangkan Semula Keputusan Gantung Penerbangan Ipoh-Singapura - Exco

13/03/2025 08:10 AM

IPOH, 12 Mac (Bernama) -- Kerajaan Perak berharap syarikat penerbangan Air Asia mempertimbangkan semula keputusan penggantungan operasi laluan Ipoh-Singapura yang akan berkuat kuasa 25 April, seperti diumumkan dalam laman sesawang syarikat penerbangan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Loh Sze Yee berkata kerajaan negeri tidak dimaklumkan mengenai keputusan itu dan ia diharap hanya pendekatan sementara bagi penyusunan semula strategi syarikat bagi destinasi baru.

“Oleh itu amat diharap Air Asia untuk mempertimbangkan penyambungan semula operasi penerbangan laluan Ipoh-Singapura,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Loh berkata mengikut data laluan Ipoh-Singapura sememangnya mendapat sambutan yang baik selama ini dan dikhuatiri akan memberi impak yang kurang baik kepada Ipoh dan Perak dalam pelancongan dan pelaburan serta industri.

Beliau berkata keputusan itu juga bertentangan dengan usaha kerajaan merancakkan pengangkutan udara di Ipoh dan kerajaan negeri sentiasa memberi kerjasama untuk melancar serta memudahkan pengurusan operasi penerbangan domestik dan antarabangsa.

“Pada masa ini kerja-kerja naik taraf LTSAS yang sedang dilaksanakan dan ia merupakan antara inisiatif kerajaan negeri dan Persekutuan untuk tambah baik serta meningkatkan fasiliti bagi mengoptimumkan perkhidmatan penerbangan,” katanya.

Terdahulu dalam satu kenyataan AirAsia mengumumkan penggantungan operasi laluan Ipoh-Singapura berkuat kuasa 25 April.

Mengikut kenyataan itu Air Asia akan menggantung 17 perkhidmatan mereka termasuk laluan Ipoh-Singapura di (LTSAS) yang bermula 2 Dis 2018 bagi menyemak serta menyelaraskan operasi syarikat berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan