ISTANBUL, 13 Mac (Bernama-Anadolu) -- Menteri luar Arab Saudi, Mesir, Qatar, Jordan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengadakan rundingan pada Rabu di Qatar mengenai sokongan Arab kepada rakyat Palestin, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Mesyuarat yang turut dihadiri Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Hussein Al-Sheikh, bertujuan untuk "menyelaras usaha berkaitan perkembangan isu Palestin," menurut kenyataan Kementerian Luar Mesir.
Perbincangan menumpukan kepada "cara menyelaraskan pendirian Arab" dan meneliti hasil sidang kemuncak tergempar Arab baru-baru ini di Kaherah serta mesyuarat luar biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah mengenai sokongan kepada rakyat Palestin, menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menyebut mesyuarat berkenaan membincangkan "strategi untuk mempromosi dan mendapatkan pembiayaan bagi pelan pemulihan awal serta pembinaan semula Gaza yang dipimpin oleh Arab-Islam."
Dalam kenyataan berasingan, Kementerian Luar Mesir berkata: "Negara Qatar menjadi tuan rumah bagi satu mesyuarat hari ini yang menghimpunkan beberapa menteri luar Arab, dengan penyertaan Utusan Khas Amerika Syarikat (AS) ke Timur Tengah, untuk membincangkan perkembangan di Semenanjung Gaza dan rantau ini."
Menteri luar Arab membentangkan pelan pembinaan semula Semenanjung Gaza yang telah diluluskan pada Sidang Kemuncak Arab di Kaherah awal Mac, menurut kenyataan kementerian itu.
Mereka juga bersetuju dengan wakil AS “untuk meneruskan rundingan dan penyelarasan mengenai pelan ini sebagai asas kepada usaha pembinaan semula di wilayah berkenaan.”
Para diplomat Arab menegaskan "kepentingan untuk mewujudkan gencatan senjata di Gaza dan wilayah Palestin yang diduduki, serta menekankan keperluan bagi usaha sebenar untuk mencapai keamanan yang adil dan menyeluruh berdasarkan penyelesaian dua negara, demi memastikan aspirasi rakyat Palestin untuk kebebasan dan kemerdekaan dapat direalisasikan.”
Mereka turut mengulangi "komitmen untuk mengekalkan dialog bagi mengukuhkan gencatan senjata dan bekerjasama ke arah mewujudkan keselamatan, kestabilan serta keamanan di rantau ini melalui usaha diplomasi yang lebih giat dan penyelarasan dengan pelbagai pihak serantau serta antarabangsa," menurut kenyataan itu.
Sidang kemuncak Arab dan mesyuarat OIC telah meluluskan satu pelan komprehensif Arab bagi membangunkan semula Gaza tanpa menyebabkan pemindahan penduduk Palestin. Pelan itu dijangka mengambil masa lima tahun untuk disiapkan dengan anggaran kos sekitar US$53 bilion.
Cadangan Arab itu dibuat selepas rancangan Presiden AS Donald Trump, untuk "mengambil alih" Gaza dan menempatkan semula penduduk Palestin bagi membangunkannya sebagai destinasi pelancongan. Idea itu ditolak oleh dunia Arab dan banyak negara lain yang menyifatkannya sebagai pembersihan etnik.
Lebih 48,500 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, telah terbunuh dalam perang ganas Israel ke atas Gaza sejak Oktober 2023. Serangan itu dihentikan sementara di bawah perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang berkuat kuasa pada Januari.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap pada November terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung perangnya ke atas wilayah berkenaan.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial