BELANJAWAN 2025 > BERITA

Waris Pelajar Tajaan YBR Terima Pampasan Perlindungan Takaful Lebih RM30,000

13/03/2025 06:49 PM

KOTA BHARU, 13 Mac (Bernama) -- Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyalurkan wang pampasan bernilai RM31,985 kepada waris pelajar tajaan yayasan itu di bawah Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) di Taman Merbau, Selising, Pasir Puteh, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bank Rakyat Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata pampasan itu diberikan kepada waris keluarga Allahyarham Nazuratul Auni Ibrahim iaitu pelajar Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaya yang meninggal dunia pada 24 Ogos tahun lepas.

“Pampasan yang diberikan hari ini merupakan hasil potongan takaful kepada semua penerima PPBU iaitu pihak takaful akan membayar semula jumlah pembiayaan yang ditanggung jika terdapat sebarang permasalahan seperti kesihatan, kemalangan ataupun berlakunya kematian.

“Dengan wang pampasan perlindungan sebanyak RM31,985 ini, ia diharapkan dapat membantu waris meneruskan kehidupan lebih-lebih lagi Allahyarham turut mempunyai seorang anak yang masih kecil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Allahyarham Nazuratul dimasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi MARA (UiTM) kerana penyakit Serve Pneumonia in Severe ARDS sebelum disahkan meninggal dunia akibat Acute Respiratory Distress Syndrome.

Sementara itu, ibu kepada Allahyarham, Noor Azizah Abdul Talib mengucapkan terima kasih kepada YBR atas pemberian pampasan itu yang sekali gus dapat meringankan beban keluarga, terutamanya bagi  menampung perbelanjaan anak Allahyarham. 

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan