BELANJAWAN 2025 > BERITA

Bernama Terima Zakat Wakalah RM33,530 Daripada MAIWP

13/03/2025 10:31 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini menerima agihan zakat wakalah berjumlah RM33,530 daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk membantu petugas yang memerlukan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata zakat berkenaan akan diagihkan kepada petugas agensi itu bagi meringkan beban kewangan mereka selain sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

Beliau berkata sebanyak 59 penerima terdiri daripada petugas dan ahli keluarga mereka akan menerima manfaat itu dan baki agihan zakat akan disumbangkan kepada surau Bernama.

“Pemilihan penerima zakat adalah berdasarkan permohonan untuk kebajikan, pendidikan, dan perubatan.

“Kita bersyukur dengan pemberian zakat wakalah ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban petugas yang tergolong dalam kumpulan asnaf atau mempunyai anak kurang upaya dan untuk keperluan perubatan,” katanya.

Penyerahan replika cek sumbangan zakat itu disampaikan oleh wakil Unit Pengurusan Wakalah, Bahagian Agihan Zakat MAIWP Umar Mukhtar kepada Nur-ul Afida dengan disaksikan Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai dalam Majlis Iftar Bernama 2025 yang berlangsung di Wisma Bernama hari ini. 

Turut hadir Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Nasriah Darus, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Azlina Aziz dan ketua-ketua jabatan.

Dalam pada itu, Nur-ul Afida berkata majlis berbuka puasa itu adalah antara aktiviti bagi mengimarahkan bulan Ramadan, di samping menjadi ruang untuk mengeratkan silaturahim antara warga Bernama.

Program itu turut diisi dengan tazkirah Ramadan oleh penceramah jemputan, iaitu Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur Abdul Fatah Yusof.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan