BELANJAWAN 2025 > BERITA

Rangka Kerja Tarif Baharu Perkukuh Kerjasama AS, Malaysia — AmCham

01/08/2025 09:55 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Pengumuman kadar tarif baharu dapat memupuk kerjasama lebih erat yang akan menggalakkan peningkatan peluang pekerjaan serta pelaburan di antara Amerika Syarikat (AS) dengan Malaysia, kata Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AmCham Malaysia).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Siobhan Das berkata tarif baharu ini menyediakan hala tuju yang tersusun bagi perniagaan untuk membina pelaburan strategik yang menyokong inovasi, mengukuhkan rantaian bekalan dan berusaha ke arah kemakmuran bersama.

“Kami memuji kedua-dua pihak atas ketekunan dalam menjayakan rundingan yang kompleks ini.

“AmCham Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan ahli-ahli kami, pihak berkuasa Malaysia dan rakan sejawat di AS bagi memupuk keterlibatan yang lebih mendalam serta memastikan hubungan perdagangan AS-Malaysia kekal kukuh, dinamik serta bersedia untuk masa depan,” katanya dalam satu kenyataan.

Persatuan itu juga melihat kadar tarif terkini yang diumumkan sebagai satu langkah positif ke hadapan dalam mengekalkan daya saing negara di tengah-tengah ketidaktentuan global.

“Namun, kami juga mengakui iaitu kerja keras mesti bermula sekarang iaitu ketika kita bersama-sama menyesuaikan diri dengan persekitaran ekonomi baharu ini serta meneruskan strategi untuk terus memperkukuh hubungan dua hala yang saling menguntungkan dan menjadi asas kukuh selama lebih 60 tahun,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan